Hanya gunakan bahan di rumah, doktor kongsi petua mujarab hilangkan pijar tangan lepas pegang cili

Oleh KIM SYAZIE

Seorang doktor berkongsikan petua kepada orang ramai bagaimana dengan hanya menggunakan bahan di rumah, boleh membantu menghilangkan pijar pada tangan selepas pegang cili.

“Doktor, tangan saya pijar! Macam mana nak hilangkan? Seksa, doktor!”. Haa disebabkan kita memang tak lari dari kes pijar dan tangan pedih ni, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan melalui muatnaik di Twitter berkongsikan lima tips berkesan yang akan mengurangkan rasa panas pada permukaan tangan.

Menurut Dr Kamarul, tangan mengalami rasa pijar selepas memegang cili disebabkan cili mengandungi capsaicin di mana sebatian ini akan merangsang reseptor deria sakit.

“Kalau kena kulit, kita rasa pijar, kalau kena lidah, kita rasa pedas. Capsaicin ini, ia tak larut air. Kalau kita cuci tangan dengan air sahaja, capsaicin ni sukar nak tanggal dari kulit kita. Walaupun tak larut air, capsaicin ni larut dalam minyak/lemak. Oleh itu, kita gunakan (lima petua ini),” ciapnya di Twitter.

Berikut kami kongsikan petua lengkap dari Dr Kamarul:

1. Susu
usu berlemak dan mengandungi sejenis protin dipanggil casein. Ia akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit. Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.

2. Minyak
Jjika nak cuci tangan guna susu, rasa macam membazir pula. Jadi kita boleh gunakan minyak. Minyak akan mencairkan capsaicin. Selepas itu perlu juga bilas dengan air sabun.

3. Cuka
Capsaicin bersifat alkali, jadi secara teori bahan berasid boleh meneutralkan atau melemahkan kesannya. Boleh juga gunakan air asam, perahan limau, atau sos tomato.

4. Alkohol
Capsaicin juga boleh dilarutkan dengan alkohol. Jadi boleh gunakan pensanitasi tangan berasaskan alkohol untuk mencuci tangan yang pijar. Kena gunakan banyak.

5. Losyen
Gunakan losyen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin, kemudian disusuli dengan bilasan air sabun untuk buang losyen yang telah dicemari capsaicin tadi.

Selain itu, Dr Kamarul juga memberitahu bahawa capsaicin juga boleh ditanggalkan menggunakan geseran. Ini bermakna seseorang itu boleh menggosok tangan dengan tuala, berus, garam atau hampas kelapa.

Baca juga: Tidak sepatutnya cemarkan mana-mana ruang ibadat, konflik Israel-Palestin perlu diselesaikan segera

Baca juga: Duit hilang dari akaun bank, ini cara untuk dapat semula