Malaysia Dateline

Tidak sepatutnya cemarkan mana-mana ruang ibadat, konflik Israel-Palestin perlu diselesaikan segera

Tidak sepatutnya mana-mana pihak atau individu mencemarkan ruang ibadat kaum lain, konflik Israel-Palestin perlu diselesaikan segera.

Susulan penindasan yang terus dilakukan terhadap rakyat Palestin ketika bukan Ramadan, DAP hari ini menggesa agar konflik Israel-Palestin diselesaikan segera dengan mencari jalan perdamaian dan keamanan demi rakyat yang sudah lama terperangkap dalam suasana tertekan dan bergolak selama ini.

Parti di bawah Pakatan Harapan itu turut mengecam segala bentuk pencerobohan dan keganasan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa sehingga dilaporkan telah mencederakan lebih 150 orang sejak insiden itu berlaku Jumaat minggu lalu.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang juga merupakan Jurucakap Hal Ehwal Antarabangsa DAP menegaskan, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di mana dunia sudah mempunyai ruang dan platform untuk diplomasi, keamanan dan perdamaian secara matang bagi semua pihak.

“Keganasan sebegini, samada oleh pihak polis ataupun mana-mana individu mesti dihentikan dengan serta-merta.

“DAP membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya segala tindakan yang mencemarkan dan merosakkan mana-mana ruang tempat ibadat, khususnya dalam insiden ini, Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci bagi penganut Islam.

“Sama ada penganut Kristian, Islam atau Yahudi, anggota penguatkuasaan, badan pentadbiran dan pihak kerajaan harus bertanggungjawab keatas setiap satu nyawa yang terkorban dalam pergolakan ini,” katanya dalam satu kenyataan terbaru pagi ini.

Pada masa sama, Patto turut menegaskan bahawa konflik Israel – Palestin tidak seharusnya bersifat ‘balas dendam’, sama ada di bulan Ramadan yang mulia ini mahupun pada hari Good Friday atau semasa sambutan Passover. Jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang seperti ini mesti dikecam, dikutuk dan ditolak oleh semua pemimpin.

Menurutnya, setiap individu berhak untuk hidup aman untuk menganuti agamanya tanpa sebarang ancaman dan gangguan, dan hak ini mesti dilindungi, dipelihara dan dipertahankan bagi rakyat Palestin.

Selepas mengharungi cabaran pandemik Covid-19 di seluruh dunia selama lebih 2 tahun, Patto menegaskan bahawa pembinaan semula ekonomi dan pelaburan dalam pembangunan manusia haruslah menjadi paksi perdamaian antara rakyat dan pihak kerajaan kedua-dua negara.

“Tiada siapa yang inginkan perang sama ada di Ukraine, di Palestin ataupun di mana-mana negara lain yang bergelut dengan pemimpin yang rakus kuasa. Pihak kerajaan serta pihak berkuasa mesti berani untuk menggunakan segala sumber yang wujud untuk menggembleng tenaga mengelakkan konflik dan jenayah terhadap kemanusiaan berulang lagi.

“DAP menggesa agar kedua-dua negara yang terlibat segera mengadakan perundingan damai serta memberikan komitmen supaya peristiwa hitam dan serangan yang mengejutkan seperti ini tidak akan berlaku lagi.

“Malaysia sebagai anggota di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mesti berusaha untuk menjadi perantara dan pendamai dalam konflik yang telah berlarutan sejak sekian lama ini,” katanya lagi.

Baca juga: Main skuter di sekitar KL jadi tarikan rakyat Malaysia, bersiar-siar sambil tengok KLCC

Baca juga: Peguam Siti Bainun ‘koyak’ lepas dihentam netizen