Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoal mengapa tiada penjelasan diberikan oleh kerajaan berhubung banjir kilat yang kerap berlaku di ibu kota biarpun berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk tebatan banjir, mendalamkan sungai, dan membina terowong SMART.
Beliau berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man perlu memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk mangsa yang terkesan mengapa kedua-kedua kementerian itu tidak berkesan dalam mencegah bencana banjir kilat.
“Setiap kali hujan lebat tidak sampai setengah jam pun, warga KL sudah tidak boleh terlepas daripada banjir besar. Kereta mereka perlu dibaiki, rumah perlu dibersihkan. Bagi setiap banjir, kerugian harta benda berjumlah berjuta-juta.
“Cukup-cukuplah. Banjir pada Disember tahun lepas sepatutnya sudah cukup teruk, tetapi banjir semalam lebih teruk. Ia juga berlaku dalam tempoh kurang daripada empat bulan dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk Kuala Lumpur.
“Untuk ini, kita mahu menteri wilayah dan menteri alam sekitar dan air menjelaskan mengapa kedua-dua kementerian itu tidak berkesan dalam mencegah banjir kilat, jika semua projek tebatan banjir telah berjaya dijalankan,” katanya.
Sementara itu Lim berkata, bandar maju memerlukan pembangunan mampan, bukan hanya membina lebih banyak kondominium, menara pejabat, pusat membeli-belah dan bangunan pencakar langit.
“Jika projek-projek ini diteruskan tanpa henti, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Orang yang akhirnya terpaksa menanggung akibatnya ialah rakyat yang tinggal di bandar Kuala Lumpur,”
Baca juga: KL banjir lagi: Tiga tahun kerajaan kaji punca, netizen tanya bila nak mula gerakkan kerja
Baca juga: Imam tarawih terkejut terima surat pinangan berserta duit RM50 dalam raga motor