Malaysia Dateline

KL banjir lagi: Tiga tahun kerajaan kaji punca, netizen tanya bila nak mula gerakkan kerja

Keadaan hujan lebat berterusan pada semalam telah menyebabkan beberapa lokasi di ibu kota ditenggelami air dan menyebabkan banjir kilat.

Ini banjir kilat kedua yang berlaku sepanjang tempoh empat bulan selepas keadaan sama melanda Kuala Lumpur pada Mac lalu.

Susulan kejadian yang berlaku itu, netizen meluahkan rasa marah bagaimana Kuala Lumpur yang maju dan mempunyai tiga menara tertinggi, masih lagi dilanda banjir kilat yang sudah berlaku beberapa kali.

Di Twitter, pengguna @SyedAkramin mempersoal bila kerajaan mahu menggerakkan kerja kerana sudah tiga tahun mereka mengatakan mahu mengkaji punca.

“Tahun 2020 – Kaji punca. Tahun 2021 – Kaji punca lagi. Tahun 2022 – Kaji rekabentuk

“Sebenarnya, bila korang nak habis mengkaji dan mula buat actual work?,” soalnya.

Ciapan itu mendapat lebih 3,000 ulang kicau dan lebih 3,000 tanda suka yang rata-ratanya menyokong hantaran tersebut.

Mereka berkata, jalan penyelesaian mungkin tidak akan dibentangkan kerana kerajaan akan terus mengkaji dan menghabiskan duit rakyat.

“Kejap lagi ada lah yang keluar berita, kerajaan akan buat jawatankuasa khas untuk selidik kes banjir. Kaji dan selidiklah korang sampai kiamat,” ciap pengguna lain.

Pengguna @MizanIskandar pula membalas ciapan tersebut dengan memberi cadangan agar kerajaan menghentikan pembangunan baru di Kuala Lumpur sehingga semua sistem perparitan diperbaiki.

“Punca: Kegagalan perancangan bandar. Tindakan: Hentikan semua pembangunan baharu dengan segera sehingga sistem perparitan/longkang diperbaiki. Dah.. Selesai tak?,” tanyanya.

Ada juga netizen yang bertanya sama ada kerajaan sudah atau belum mengeluarkan penyelesaian dan penambahbaikan bagi kes banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu untuk elak kejadian tersebut berulang.

Untuk rekod pada Disember 2021, negara dikejutkan dengan bencana banjir terburuk yang menjejaskan hampir seluruh Lembah Klang dan ratusan penduduk dilapor terperangkap di atas bumbung rumah tanpa makanan mahupun elektrik.

Insiden itu menjadi tragedi buruk bagi penduduk di sana kerana banyak jalan terpaksa ditutup ketika banjir berlaku sehingga menyebabkan banyak bantuan tidak dapat sampai di tempat mereka.

Ini antara kawasan yang terjejas dengan banjir kilat yang berlaku pada semalam (25 April 2022)

  1. Jalan Kuching
  2. Jalan Tunku Abdul Halim
  3. Jalan Sematan
  4. Pintasan Segambut
  5. Jalan Segambut
  6. Jalan Kinabalu (Bulatan Mereka)
  7. Jalan Changkat Thami Dollah
  8. Lebuhraya Sultan Iskandar
  9. Jalan Travers
  10. Bulatan Dato Onn

Baca juga: MP DAP gesa PM, Menteri Wilayah luluskan segera bantuan tunai mangsa banjir sebelum Hari Raya

Baca juga: Lelaki kongsi 5 punca enjin kereta cepat panas