Kerajaan harus berhenti mengelirukan rakyat dalam isu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), terutamanya berkaitan kos tambang.
Hakikatnya, tanpa suntikan subsidi kerajaan, tambang ECRL akan menjadi jauh lebih mahal daripada kemampuan rakyat marhaen.
Kesannya, sekali lagi projek mega akan terpaksa diselamatkan dengan wang rakyat. Persoalannya, apakah sumber dana yang akan digunakan kerajaan jika ECRL terpaksa diselamatkan kelak?
ECRL bukanlah satu “profitable venture” dan adalah amat mustahil untuk ia mencapai bilangan penumpang dan kargo seperti yang dianggarkan oleh kerajaan.
Sekiranya ECRL tidak dapat mencapai jangkaan bilangan penumpang dan kargo, kerajaan dijangka menyuntik duit cukai untuk menampung kos operasi ECRL, sama seperti apa yang berlaku dengan KTMB.
Lebih teruk, hutang yang perlu dibayar kepada negara China hanya akan dapat ditanggung dengan suntikan dana kerajaan. Memandangkan 85% kos ECRL akan dibiayai menerusi pinjaman daripada China, Malaysia akan berhutang RM42.7 bilion (tidak termasuk faedah) kepada negara itu.
Pada kadar pinjaman 3.25% dan tempoh pembayaran 20 tahun, jumlah hutang akan melonjak ke RM58 bilion. Tanpa adanya sumber pendapatan yang mencukupi, amat mustahil bagi ECRL membayar hutang ini tanpa sokongan kerajaan.
Unjuran kerajaan berkenaan penumpang dan kargo ECRL amat meragukan. Saya percaya unjuran kerajaan sengaja dimanipulasi supaya ECRL dilihat sebagai “profitability venture”.
Lebih melucukan, kerajaan menganggarkan bahawa ECRL (yang menuju ke pantai timur) akan membawa lebih banyak penumpang dan kargo, berbanding KTMB yang sudah sekian lamanya berkhidmat untuk lokasi berpenduduk padat dan pelabuhan-pelabuhan utama di pantai barat.
ECRL ini juga adalah tren “single-track” dan bukannya “double track” seperti KTMB di pantai barat. Sangat meragukan apabila tren “single-track” yang berkapasiti rendah dikatakan dapat membawa lebih banyak penumpang dan kargo.
Secara terperinci, perkhidmatan kereta api KTMB yang beroperasi di lokasi-lokasi di pantai barat (populasi lebih 20 juta) hanya mencapai bilangan penumpang 3.75 juta pada tahun 2019.
Ironinya, bagaimana pula ECRL yang akan beroperasi di lokasi-lokasi baru membangun dengan populasi jauh lebih rendah dijangka mencapai bilangan penumpang 5.6 juta dalam tahun pertama operasinya?
Persoalan seterusnya, bagaimana ECRL dijangka membawa kargo 26 juta tan pada tahun pertama operasinya kelak, walaupun ia beroperasi di lokasi-lokasi yang hanya mengendalikan kargo 22 juta tan pada tahun 2020?
KTMB pula hanya mencapai 6 juta tan kargo pada tahun 2020, walaupun ia beroperasi di lokasi-lokasi yang mengendalikan 285 juta tan kargo.
Seperti yang dikatakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, 70% pendapatan ECRL akan datang daripada perkhidmatan kargo.
Ini bermaksud, jika ECRL gagal mencapai bilangan kargo seperti yang diunjurkan kerajaan, sistem tren ini akan mengalami kekangan kewangan yang besar. Akhirnya, duit cukai kerajaan juga diperlukan untuk “bail out” ECRL.
Kerajaan digesa lebih telus dan jujur mendedahkan secara terbuka bagaimana unjuran penumpang dan kargo ECRL dibuat.
Malah, rakyat berhak mengetahui apakah impak pinjaman daripada kerajaan China? Jika ECRL mengalami kekangan kewangan, adakah aset ECRL atau tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL akan berpindah hak milik kepada China? Rakyat berhak untuk mengetahui fakta sebenar.
Baca Nilai penyertaan Bumiputera dalam projek ECRL menghinakan