Pelakon dan pengarah, Syahmi Sazli menyatakan rasa hairan kenapa sentiasa ada pihak yang mahu membandingkan karyanya dengan filem arahan Syamsul Yusof yang sedang menjadi fenomena di pawagam ketika ini.
Bukan itu sahaja, menurut Syahmi, sejak 2016 ketika awal pembabitan dia dalam bidang pencipta kandungan (content creator), dia sering dibandingkan dengan content creator lain yang lebih hebat.
Namun, apabila dia cuba fokus pada penghasilan video-video spontan di YouTube pula, dia dibandingkan lagi dengan video seorang Youtuber terkenal, Alieff Irfan.
Dan kini katanya, filem 35mm arahannya yang sudah mencecah RM1 juta kutipan dibandingkan pula dengan filem Mat Kilau dengan kutipan sebanyak RM18 juta.
“Awal pembabitan mi dalam bidang content creator di Facebook tahun 2016 dulu, orang bandingkan video mi dengan video dua content creator Kelate iaitu Pian Kpop dan Six. 2017 hingga 2019 mi fokus untuk video Youtube dan ramai yg bandingkan dengan video Alieff Irfan.
“Sekarang duk bandingkan filem mi dengan filem Mat Kilau pula.
“Pelik kenapa orang duk banding filem 35MM dengan Mat Kilau. Padahal ada lagi filem lain yang ditayangkan bersama dengan 35MM di Astro First iaitu filem Rompak yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, lakonan Zizan Razak, MK Clique dan Daiyan Trisya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
“Tujuan duk buat perbandingan adalah tak lain tak bukan untuk melemahkan semangat mi. Ya, mi akui agenda perbandingan mereka berjaya melemahkan kita. Bukan hanya sekarang, dari 2016 lagi mereka berjaya dalam beberapa percubaan,” tambahnya lagi.
Biarpun begitu, Syahmi yang merupakan anak kelahiran Kelantan menambah, percubaan individu yang mahu melemahkan dia hakikatnya tidak mampu merebahkan, kerana dia berbangga adanya peningkatan yang ditonjolkan dari tahun ke tahun.
Bahkan katanya, mereka yang terus menerus membuat perbandingan, belum tentu ada peningkatan, tetapi lebih terserlah kemunduran.
Baca juga: Jumpa Karen versi Malaysia, wanita sibuk ‘cop parking’ untuk kawan