Malaysia Dateline

“Persoal harga barang dianggap jenayah ke?” – Peguam Muda AMANAH tawar khidmat guaman kepada Siti Aishah

Peguam Muda AMANAH mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang dianggap terdesak selepas menahan dan menyiasat bekas Ahli Dewan Negara, Siti Aishah Shaik Ismail kerana memuat naik satu video tentang beberapa barangan bersubsidi yang akan dimansuhkan kerajaan.

Pengerusinya, Fadhli Umar Aminolhuda mempersoalkan, adakah kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional sekarang ini menganggap luahan rakyat melalui apa jua medium sekalipun termasuk TikTok, sebagai satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan mahu pun Akta SKMM 1998.

Justeru itu, beliau bersama pasukan peguam Muda AMANAH menyatakan kesediaan menawarkan khidmat guaman secara pro-bono kepada mana-mana individu yang jika selepas ini dikenakan sebarang intimidasi oleh pihak berkuasa.

“Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dilihat satu tindakan terdesak kerajaan yang sehingga hari ini gagal mengawal kenaikan menggila harga barang terutama barangan asasi termasuk ayam dan minyak masak.

“Sepatutnya kerajaan memikirkan penyelesaian segera dan tuntas kepada kenaikan mendadak harga barang, dan bukannya sibuk melakukan intimidasi ke atas rakyat yang meluahkan perasaan dan kegusaran mereka sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam Muda AMANAH berbesar hati menawarkan khidmat guaman secara pro-bono kepada mana-mana rakyat yang dikenakan sebarang intimidasi dan siasatan oleh kerana meluahkan kegusaran berkenaan kenaikan harga barang di mana-mana medium media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Siti Aishah memuat naik satu kandungan video TikTok berdurasi hampir tiga minit yang menjelaskan jangkaan beberapa harga barangan komoditi dan barang makanan bakal dimansuhkan subsidi oleh kerajaan bermula 1 Julai ini.

Siti Aishah juga dilaporkan tidak ditangkap sebaliknya hadir sendiri ke Balai Polis Sungai Senam untuk beri keterangan.
Artikel Penuh.

Baca juga: “Sanggup gunakan budak-budak” – Pakar motivasi tegur video murid tadika disuruh buat trend ‘sarung cincin’