Dah pilih kembung tapi keluarkan balik, harga ikan makin jadi mampu lihat

Oleh ARIF ATAN

“Letak baliklah (ikan kembung), mahal sangat. Tu hari 17 ringgit (sekilogram) saja.”

Itu keluhan seorang ibu menyuruh anaknya mengeluarkan semula ikan kembung dari plastik yang dipilihnya sebelum itu.

Situasi itu berlaku di sebuah kedai barangan basah yang menjadi tumpuan penduduk di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor pagi tadi.

Penulis yang juga membeli barangan keperluan di situ mendapati ruang yang memperagakan jenis ‘ikan kayangan’ seperti halimunan di mata pengunjung.

Tiada siapa yang singgah memilih apatah lagi membeli sepanjang pemerhatian setengah jam di sana. Harga ikan puluhan ringgit sekilogram seolah-olah Malaysia ini negara kebenuaan sepenuhnya yang jauh benar dari laut.

Di kedai itu didapati, sekilogram ikan merah mencecah RM45.90, jenahak RM38.50, tenggiri RM34.50, bawal RM29.50, nyok RM27.90 dan siakap RM21.50.

Ekoran itu, orang ramai dilihat tertumpu di ruang yang menjual ikan belasan ringgit sekilogram. Antaranya, sekilo ikan selar berharga RM11.50, sardin dan pelaling masing-masing RM14.50 manakala kembung (B) RM15.90.

Bagi udang pula, harga sekilo bagi udang yang ditandakan (A) ialah RM36.90 manakala yang berlabel (B) ialah RM28.90.

Di sebelahnya, udang berlabel (P) yang lebih kecil saiznya dijual RM18.50 sekilogram. Sementara itu, sekilo kerang yang sebesar seruas jari berharga RM15.90.

Tinjauan saya seterusnya di sebuah pasaraya segar pula mendapati harga ikan rata-ratanya lebih tinggi sekitar RM2 hingga RM5 kecuali udang bersaiz besar yang ditandakan sebagai ‘promosi’ dijual RM33.90 sekilogram.

Ikan keli bersih yang telah disiang pula RM8.90 sama harga dengan sekilo lala manakala ketam bunga dengan saiznya tiga perempat tapak tangan mencecah RM22.90 sekilo.

Cuba untuk mewajarkan harga ikan dan hidupan laut yang mahal, mungkin ramai menganggap tentunya golongan nelayan mendapat manfaat. Patutlah begitu kerana mereka sebenarnya bertarung nyawa turun ke laut.

Namun, dilaporkan baru-baru ini, sekitar 90,000 ne­layan kecil tempatan di seluruh negara mendakwa ditindas pemain industri gergasi dalam sektor perikanan.

Hasil laut nelayan kecil dijual kepada orang tengah dengan harga rendah. Walaupun harga hasil laut di pasaran semakin mahal, orang tengah jugalah yang semakin kaya apabila dengan mudah menyapu untung atas angin.

Dalam masa sama, peningkatan harga ikan pada ketika ini juga lantaran hasil tangkapan yang dibawa pulang nelayan semakin berkurangan.

Jika dahulu, nelayan sudah pulang ke jeti jam 11 pagi selepas turun ke laut jam 5 pagi tetapi sejak kebelakangan ini mereka terpaksa pulang lewat petang atau malam.

Malah, rata-rata nelayan mendakwa untung bersih yang diperoleh adalah kecil selepas ditolak segala kos berkaitan selain peruntukan ribuan ringgit untuk membeli pukat baharu, penyelenggaraan bot dan menukar minyak enjin.

Baca juga Ini baru kisah 1 Jun, entah apa jadi tiga, empat bulan lagi