Penangan Mat Kilau, ramai mahu belajar silat seawal usia lima tahun hingga setengah abad

Oleh ARIF ATAN

Penangan filem “Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan” menyaksikan minat masyarakat Melayu segenap lapisan usia untuk belajar silat meningkat bermula seawal usia lima tahun hingga setengah abad.

Menurut Naib Pengerusi Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Daerah Jempol, Ahmad Shafiq Zulkifli, pihaknya menerima pendaftaran lebih 40 pelajar baharu yang mahu belajar silat sejak tiga hari lalu.

Padahal, jelasnya, sebelum ini persatuan silat tersebut cuma menerima empat atau lima pelajar dalam tempoh setahun.

Perkembangan cukup luar biasa itu, ujarnya, merupakan impak dicetuskan filem Mat Kilau menyebabkan ada ibu bapa yang mahu anak mereka belajar silat.

“Sebelum ini, silat kurang mendapat sambutan berikutan ada yang mendakwa hanya sekadar seni bela diri kampung namun tayangan filem itu mengubah tanggapan orang ramai.

Wajah Mat Kilau sebenar. Syamsul Yusof akui hampir 90% jalan cerita filemnya diolah untuk jadi lebih dramatik walaupun sejarah asal Mat Kilau itu sudah cukup hebat untuk dijadikan filem sejarah sebenar.

“Tidak menghairankan apabila ada ibu bapa mendaftar anak mereka berusia lima tahun selain ada golongan dewasa berusia 50 tahun yang turut berminat mahu berlatih silat,” dipetik BH.

Bahkan, jurulatih muda khalifah itu berkata, beliau yakin penyertaan pelajar baharu bakal meningkat susulan program pengambilan ahli baharu bermula hari ini dan esok.

Katanya, pengaruh silat yang dipamerkan dalam filem Mat Kilau yang memaparkan semangat juang yang tinggi, pembawaan watak persilatan, adab orang Melayu dan junjungan agama Islam yang tinggi sangat memberi impak khususnya kepada ibu bapa.

Sementara itu, “Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan” mencipta rekod tersendiri apabila menjadi filem epik Melayu pertama yang pecah panggung dengan kutipan lebih RM23 juta dalam tempoh hanya seminggu tayangan.

Filem terbitan Studio Kembara itu mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Yayan Ruhan dan ramai lagi.

Pengarahnya Syamsul Yusof berkata, Mat Kilau 2 akan ada sama seperti kebanyakan filem dihasilkannya sebelum ini tetapi mengambil masa untuk penelitian dan tambah baik.

Baca juga Ketika ‘Mat Kilau’ gegar pawagam, pengkaji sejarah ini impikan Perang Musuh Bisik pula difilemkan

Baca juga PDRM buka kertas siasatan sebab orang ramai mengadu dapat mi segera perisa babi lepas derma darah