Malaysia Dateline

Ketika ‘Mat Kilau’ gegar pawagam, pengkaji sejarah ini impikan Perang Musuh Bisik pula difilemkan

Hari ini semua waris pahlawan Melayu menyaksikan kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang sangat membanggakan khususnya kepada pencinta sejarah di negara ini.

Sejak dari mula proses pembikinannya yang menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, akhirnya filem ini berjaya mencipta rekodnya yang tersendiri.

Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga kerja Kembara Studio dan Syamsul Yusuf atas kejayaan yang telah dicapai.

Kejayaan ini secara tidak langsung membuka satu ruang baru kepada pembikin filem untuk berfikir sejenak tentang tanggapan mereka terhadap filem-filem sejarah.

Ini bukan soal masyarakat tidak minat kepada sejarah dan susah untuk bikin filem sejarah tetapi bagaimana propaganda dan “marketing” disusun dengan baik dan terancang.

Saya teringat sewaktu bertemu pelakon tersohor di dalam dunia silat iaitu Eman Manan di Menara DBP tahun pada 25 April 2017, saya tanya kepada beliau di dalam satu program anjuran DBP yang saya lupa namanya.

“Tuan pernah berjaya semasa drama Keris Hitam Bersepuh Emas ditayangkan satu masa dulu, kenapa selepas itu drama sedemikian tidak lagi ditayangkan?”

Kata Eman Manan “Drama/filem genre begitu sukar untuk dapat sokongan penonton. Kejayaan sesebuah filem bergantung kepada jumlah kutipan dan biasanya selalu mendatangkan kerugian yang besar.”

Tapi jauh dalam hati, satu hari saya akan ambil beliau sebagai salah seorang pelakon sekiranya saya dapat peluang untuk menulis sebuah skrip filem.

Pada 13 Oktober 2019, saya dibawa oleh Ustaz Yusuf Desa bertemu dengan seorang lagi pelakon tersohor iaitu Nasir Bilal Khan.

Saya sangat berhajat hendak mengajak beliau membawa salah watak yang sangat penting di dalam filem Perang Musuh Bisik usai beliau juga adalah anak Kedah. Di dalam pertemuan saya dengan beliau:

“Saya pernah jumpa tengok abang Nasir mai sekolah saya di SMK Sultan Ahmad Tajuddin, Bandar Baru Kedah pada tahun 1999. Abang mai buat perasmian Silat Gayung Harimau di sekolah saya tapi saya ni jenis shy-shy cat. Jadi, saya tengok abang dari jauh saja”

Abang Nasir pun tersipu-sipu bila kenangkan zaman mudanya yang penuh lincah dan bersemangat gayung. Kemudian saya kata kepada beliau lagi.

“Bang ini buku saya, saya buat kajian selama 3 tahun tapi bagi saya kajiannya belum sempurna sebab ada banyak kisah yang belum ditonjolkan, mengkaji dan menulis sejarah ni, sifatnya kaku dan tegas serta hanya bersandarkan bukti-bukti manuskrip saja jadinya tak banyak yang boleh diolah.

“Tapi saya teringin betoi kajian saya ini diadaptasi ke dalam bentuk filem. La ni saya dok menulis sebuah novel (sampai sekarang tak siap) bertajuk “Meriam Berdarah di Kuala Kedah”.

Novel ini ditulis bagi meringankan bahasa dan dapat memaparkan jalan cerita serta plot-plot penting yang tidak dapat diterjemah oleh kajian sejarah.

Balas abang Nasir, “Saya pun dah lama dengar cerita Perang Musuh Bisik ni, sebagai anak jati Kedah kisah ini dah lama tok nyang dok habaq tapi baru hari ni saya dapat buku sejarahnya.

Katanya lagi, “Nak buat filem/drama sejarah ni susah, kos besaq dan saya tak pasti sama ada boleh berjaya atau dak sebab bukan semua orang Melayu tau sejarah bangsa depa, jadinya banyak benda nak kena pesoh khususnya nak bagi paham pasai sejarah ni.”

Sebuah peta lama Kota Kuala Kedah yang didakwa dilakar oleh angkatan tentera Siam selepas berjaya menawan kota itu dalam Perang Musuh Bisik.
Kota Kuala Kedah

Masa saya jumpa Almarhum Mamat Khalid, Aziz M. Osman dan Puan Raja Azmi pada 26 Disember 2020, benda yang sama depa lontarkan kepada saya. Kena propagandakan kisah sejarah Melayu kepada masyarakat. Barulah semua usaha filem senang dibuat.

Sejak dari itu, saya terus berusaha untuk angkat kefahaman masyarakat tentang sejarah PMB, selain dari buat live “bodoh-bodoh” cara saya.

Saya anjurkan Haul dan Tahlil PMB yang sudah berlangsung selama 4 kali dan kemuncaknya adalah tahun lepas iaitu sempena 200 tahun Memperingati PMB.

Alhamdulillah, hari ini bila saya baca komen-komen di Facebook sama ada langsung dan tidak langsung saya dapati ramai orang mula bercakap tentang keinginan mereka supaya sejarah PMB difilemkan.

Saya sangat teringin hendak bekerjasama dengan mana-mana penerbit filem yang betul-betul nak memperjuang dan mengangkat kisah perang ini ke layar perak, bukan sekadar buat duit dan syok-syok saja semata-mata nak perabih duit dana FINAS.

Cumanya itulah mungkin plot yang saya tulis tidak bersesuaian dengan pengarah filem. Saya faham part aksi, romantik, tokok tambah bagi penyedap cerita tapi saya mahu supaya kronologi sejarah yang saya susun selama ini dijadikan panduan penulisan skrip. Itu saja.

Muzium Kota Kuala Kedah

Tapi kalau saya diberi pilihan untuk memilih pelakon utama untuk menjayakan filem ini maka :

Eman Manan Nasir Bilal Khan
Beto Khusairi Que Haidar
Bron Palare Farid Kamil
Hairi Safwan Amirul Efendi
Namron Pablo Amar
Husairi Hussain Izreen Azminda
Janna Nick Rozita Che Wan

Sebagai seorang pengkaji dan penulis serta telah bertemu dengan hampir kesemua waris-waris utama yang terlibat di dalam sejarah PMB maka besarlah harapan saya ini agar suatu masa kita semua dapat bersatu dan menjayakan filem “Perang Musuh Bisik: Bersatunya 7 Panji” suatu hari nanti.

Semoga Allah memakbulkan doa kita semua dan semoga Allah mengangkat darjat ke semua As syahid Musuh Bisik 1821 – 1842.

Bissirril al fatihah!

Baca juga Demam Mat Kilau: Ramai tampil bagi ‘review’ yang ini lebih menarik, tidak bias

Baca juga Lelaki Belanda fasih banyak bahasa tewas di tangan ‘Mek Kelate’, bayar RM92.50 sebab terteka bahasa Indonesia