9 pemimpin politik sertai bantahan harga barang naik, selesai dirakam keterangan

Oleh KIM SYAZIE

Seramai enam pemimpin AMANAH hari ini selesai dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan himpunan yang membantah kenaikan harga barang di luar Masjid Jamek Kampung Baru Jumaat lalu.

Antara yang dipanggil termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Adun Pandan Indah, Ir Izham Hashim; ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari; Ketua Wanita Muda AMANAH, Nurthaqaffah Nordin dan wakil Angkatan Wanita AMANAH, Anfal Saari.

Kesemua mereka dilihat hadir bersama peguam masing-masing sekitar jam 9.50 pagi tadi.

Peguam mewakili mereka, Ahmad Fadli Umar Aminolhuda, memaklumkan semua anak guamnya hadir pada hari ini seperti dikehendaki pihak polis untuk dirakam keterangan.

“Setakat ini, sembilan pempimpin parti sudah dirakam keterangan berhubung himpunan itu.

“Kesemua mereka memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan kita memahami bahawa pihak polis hanya menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi.

Dilaporkan, tiga pemimpin parti politik yang sudah selesai dirakam keterangan sebelum ini adalah Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad; Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Hasbie Muda.

“Selesai beri keterangan di IPD Dang Wangi mengenai Himpunan Harga Barang Naik Jumaat lalu. Kerjasama dan profesionalisma pihak polis amat dihargai,” tulis Habie Muda dalam satu hantaran di Facebook, semalam (3 Julai).

Baca juga: Buang masa kaji kerja empat hari seminggu, kata Cuepacs

Baca juga: Orang ingat berniaga senang untung, peniaga ini kongsi banyak kos tersembunyi, kadang rugi jualan tak habis

Baca juga: JIJIK! Macam pertama kali lihat dada besar, lelaki kerumun pelayan wanita macam kerumun durian D24