Malaysia Dateline

Buang masa kaji kerja empat hari seminggu, kata Cuepacs

Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menganggap adalah tidak relevan untuk meneruskan kajian kebolehlaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu, dalam keadaan banyak lagi kebajikan untuk penjawat awam belum terlaksana sepenuhnya.

Presidennya, Adnan Mat berkata, banyak perkara lain yang sepatutnya diutamakan kerajaan terutama perkara yang memberi manfaat kepada pekerja, berbanding mengkaji perkara yang belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

“Kajian ini tidak relevan dan buang masa sedangkan sistem penyampaian yang ada sekarang belum boleh bagi perkhidmatan sepenuhnya.

“Lebih baik beri fokus pada kebajikan penjawat awam seperti keperitan hidup dengan harga barang semakin meningkat dan kelulusan oleh kerajaan seperti gantian cuti rehat (GCR) boleh ditebus 80 hari, yang sehingga kini belum dilaksanakan, sekadar isi borang, namun tidak ada bayaran dibuat.

“Jadi, perkara-perkara ini sepatutnya diberi keutamaan daripada membuat kajian yang akhirnya tidak memberi manfaat kepada perkhidmatan awam,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, kaji selidik yang dijalankan syarikat Qualtrics mendapati 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu.

Tetapi, kaji selidik Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pada April lalu menunjukkan sebahagian besar majikan tidak bersedia melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu, dengan 60 peratus daripada 170 syarikat tidak mempunyai kerja syif dan 78.6 peratus daripada 112 syarikat yang mempunyai kerja syif, tidak bercadang mengamalkan minggu bekerja lebih singkat.

Khamis lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilapor menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu, yang antara lain melihat sektor mana dan jumlah waktu bekerja dalam sehari.

Isu itu mula menjadi perhatian masyarakat apabila 70 syarikat melibatkan 3,000 pekerja di United Kingdom melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu mulai bulan ini, namun masih menerima gaji penuh untuk sebulan.

Bagaimanapun Adnan berharap penjawat awam tidak dimomokkan dengan kajian itu, sebaliknya terus diberi penekanan untuk fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Laksanakan apa yang telah diluluskan kerana ia juga sebahagian bentuk kebajikan supaya penjawat awam terus memberi perkhidmatan terbaik” katanya lagi.

Baca juga: Kerja 4 hari seminggu: Idea baik tapi masih perlukan eksperimen kaji keberkesanan

Baca juga: Filem lain banyak tak laku, kenapa Mat Kilau, 35mm boleh kutip berjuta dalam seminggu? Ramai sokong jawapan pemuda ini