Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj memandang serius terhadap gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik Melayu.
Baginda yang baru sahaja menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai orang Melayu.
“Jika dihayati dialog yang digunakan di dalam filem ini, ianya bertepatan bagi menyampaikan message kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.
“Beta menggalakan masyarakat Negara ini terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ianya boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran kepada kita semua bahawa sesebuah tamaddun dan Negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama di dalam mempertahankannya,” titah baginda dalam satu kenyataan.
Baginda melihat perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang begitu ketara sekarang boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara ini.
“Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran Negara.
“Walaubagaimana pun Beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.
“Ianya adalah bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di Negara ini,” katanya.
Baginda juga mengingatkan pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan Negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.
“Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu dan sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu.
Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan Negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum.
“Di samping itu, Beta menyedari gejala fitnah-memfitnah berlaku dengan berleluasa di kalangan masyarakat.
“Penyebaran berita-berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah mengugat keharmonian masyarakat di Negara kita.
“Semua pengkhianatan serta kebencian yang dilahirkan secara terbuka ini seolah-olah sudah menjadi satu budaya di kalangan masyarakat kita. Kita perlu sedar bahawa fitnah boleh mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah S.W.T.
“Agama Islam sendiri menggalakkan manusia untuk berdamai dan bersatu-padu dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan sebagaimana firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 103.
‘‘Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…“
Oleh itu Baginda Sultan mengajak semua pemimpin politik dan rakyat di Negara ini kepada kebaikan dan mengamalkan budaya sihat yang berpandukan kepada sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran Negara.
“Beta menyeru agar kita bersama-sama membangunkan sebuah masyarakat yang gagah, bebas dari rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat. Semoga Allah S.W.T. memelihara Negara dan kita semua,” kata Baginda.
Baca juga: Selepas khidmat kapal terbang henti, tambang feri ke Pangkor pula naik 40%,
Baca juga: Gagal samun, lelaki maut tertikam paha sendiri selepas tetak orang