Tular rakaman video wanita Melayu yang kontroversi mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran dan menanggalkan pakaian di depan khalayak di sebuah kelab komedi berkongsikan latar belakang dirinya.
Dimulakan dengan ucapan “Hello dan Assalamuaikum semua”, dia yang membahasakan dirinya sebagai “Amy” memberitahu menerima banyak pesanan yang memintanya berkongsi sedikit mengenai dirinya.
Kata Amy, nama sebenarnya adalah Siti Amira Natasha, berusia 26 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak.
“Amy sudah berkahwin dan Amy ada tujuh boyfriends,” katanya.
Menurut Amy, dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat berpegang teguh pada ajaran Islam dan ketika dia berumur enam tahun sudah menutup aurat dengan mengenakan tudung dan memakai stoking.
“Tapi masa umur 20 tahun, Amy officially start tanggal tudung. Amy tak pakai tudung lagi.
“Tingkatan 1 hingga 3, Amy dihantar ke sekolah agama, sekolah tahfiz dan Amy sudah menghafal 15 juzuk al-Quran.
“Habis saja tahfiz, Tingkatan 4 dan 5, Amy ambil SPM, masuk Tingkatan 6, study bisnes. Habis form 6, masuk universiti di Pulau Pinang, ambil PR (Public Relations),” ujarnya.
Pada masa ini, tambah Amy lagi, dia bekerja dan dalam masa sama belajar undang-undang separuh masa.
“Selain daripada itu, Amy juga sedang berjinak untuk jadi comedian.
“Anda boleh tunjukkan sokongan terhadap saya. Please share my video,” serunya pula.
Berbaju bertali halus
Sebelum ini, Amy mengejutkan orang ramai khususnya masyarakat Islam yang sibuk melakukan persiapan Hari Raya Aidiladha apabila tular videonya menanggalkan pakaian di hadapan audiens di Crackhouse Comedy Club (CH) dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Walhal, ketika memperkenalkan diri, dia tampil sopan mengenakan tudung dan baju kurung Kedah.
Sejurus menanggalkan tudung dan pakaiannya itu, dia yang berambut pendek paras bahu dilihat berbaju bertali halus berwarna hitam dan skirt singkat paras paha berwarna perang.
Dia kemudiannya mengambil semula mikrofon sambil menyebut, “Hello motherf***ers.”
Menerusi klip video yang dikongsi di TikTok itu, tertera kapsyen, “They laughed… they hugged me and said amazing set, you’re so brave. (Mereka (penonton) terhibur. Mereka memeluk saya dan memberitahu saya berani dan persembahan itu menakjubkan).
Aksi wanita itu mengundang kecaman orang ramai sehingga membawa kepada siasatan pihak polis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
LANJUT MENYUSUL
Baca juga Hina agama tidak boleh dikompromi, kenakan tindakan tegas sebagai pengajaran