Petisyen desak tutup Kelab Komedi Crackhouse dah cecah lebih 32,000 sokongan

Oleh KIM SYAZIE

Petisyen yang mendesak penutupan terus Kelab Komedi Crackhouse telah berjaya meraih lebih 32,000 tandatangan sejak ia dilancarkan pada 14 Julai lalu.

Petisyen ini susulan beberapa kes menghina Islam dalam persembahan komedi di kelab berkenaan termasuk video seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian setelah mengaku menghafaz al-Quran.

Menerusi petisyen di platform change.org, individu yang menggerakkan bantahan tersebut mendakwa penutupan sementara yang diarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah tidak setimpal disebabkan pengasas kelab berkenaan sebelum ini telah banyak kali membiarkan kelakuan melampaui batas di pentas tersebut.

Petisyen itu berkata, hasil selidik pelbagai pihak telah membongkarkan beberapa persembahan komedi dari pengasas kelab tersebut, iaitu Rizal Van Geyzel yang juga pernah membuat lawak mengenai Islam, Melayu dan Bumiputera. 

Ini termasuk tangkap layar menunjukkan seorang wanita muslim bertudung yang dimalukan kerana disuruh membuka minuman keras oleh seorang ‘performer’ di atas pentas.

“Kita merasakan penutupan sementara itu adalah tidak setimpal memandangkan pengasas sendiri sudah banyak kali melampaui batas seolah-olah sebagai sokongan kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat perkara yang sama di atas platform itu. 

“DBKL melalui timbalan menteri wilayah memaklumkan bahawa premis ini beroperasi tanpa lesen. Maka, ini sudah jadi penguat kepada sebab lesen perniagaan ditarik secara mutlak. 

“Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menyokong dan menyebarkan petisyen ini supaya Kelab Crackhouse Comedy ini ditutup terus dan sebagai iktibar kepada mana-mana premis hiburan sebegini agar menjaga batas-batas yang berteraskan nilai-nilai dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah asas penting,” kata petisyen tersebut.

Baca juga: Tolonglah berhati perut, lelaki ini bagitahu kenapa ada orang tak mampu beli insurans, jangan main sindir

Baca juga: Asrama lelaki terbakar, 103 pelajar dan warden sempat larikan diri