Perdana menteri diberi RM100, dijemput turun berbelanja sendiri dengan rakyat

Oleh KIM SYAZIE

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijemput untuk turun berbelanja bersama rakyat pada 22 Julai ini, bagi merasai sendiri bagaimana kenaikan harga barangan terutama barang basah memberi tekanan kepada ekonomi rakyat Malaysia.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Sany Hamzan berkata, pihak Biro Mobilisasi Parti AMANAH Negara (BIMO) telah menyerahkan kad jemputan dan wang tunai berjumlah RM100 untuk perdana menteri berbelanja sendiri bersama rakyat marhaen.

Menerusi sidang media di hadapan pejabat perdana menteri, Sany berkata, wang bernilai RM100 yang diserahkan adalah sebagai simbolik kepada luahan-luahan rakyat yang merasakan RM100 tidak cukup untuk membeli barangan keperluan seperti sebelum ini.

Susulan itu, perdana menteri dijemput untuk turun berbelanja di Pasar Tani yang terletak di Presint 3, Putrajaya pada jam 5 petang, kata Sany.

“Kad jemputan ini tadi telah diterima oleh setiausaha politik kepada perdana menteri yang mengatakan telah menerima dan akan menyerahkan kad jemputan kepada perdana menteri.

“Kami juga tadi menyerahkan RM100 kepada setiausaha politik perdana menteri. Kita nak minta perdana menteri gunakan RM100 yang kita berikan itu tadi pada 22 Julai ini dan kita nak lihat dengan RM100 itu tadi berapa banyak barangan yang dapat dibeli oleh perdana menteri.

“Kita nak supaya perdana menteri merasai keperitan kehidupan rakyat dalam negara. Kita harap perdana menteri hadir dan jangan kita terkejut kalau beliau hadir, mungkin ada harga barangan turun jadi murah. Mungkin barang yang selama ini tak ada di pasaran pun akan ada pada Jumaat ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Mengikut data Jabatan Perangkaan, 93 peratus barang yang terdapat dalam negara kita sekarang ini semuanya naik. Kita nak tanya kepada perdana menteri dan jemaah menteri paling ramai dalam dunia ni, dengan Kabinet 70 menteri ni, apa mereka lakukan untuk membantu kehidupan masyarakat dan rakyat yang sedang menderita dan sengsara? soalnya.

Baca juga: Petisyen desak tutup Kelab Komedi Crackhouse dah cecah lebih 32,000 sokongan

Baca juga: Kenaikan harga barang! Mat Sabu turut rasai denyut nadi keluhan rakyat di Jalan Jati