Bukan terlalu cerewet pilih kerja, ini sebab anak muda Malaysia merantau kerja di Singapura

Oleh ARIF ATAN

Golongan muda di negara ini bukan terlalu cerewet dalam memilih pekerjaan. Namun, jumlah gaji yang ditawarkan oleh rata-rata majikan adalah relatif sangat rendah berbanding Singapura.

Reaksi warganet khususnya anak muda itu muncul susulan tular maklumat berkaitan tawaran gaji oleh sebuah restoran makanan segera bagi beberapa jawatan di Malaysia dan Singapura.

Bagi Najib Halim, tawaran gaji tiga kali ganda lebih tinggi di Singapura itulah sebabnya dia dan rakan-rakannya merantau kerja di republik tersebut.

“Bukan terlalu cerewet pilih kerja. Tapi kami memang cerewet pilih nilai yang kami dapat,” tegasnya.

Menurutnya, pihak yang menganggap wang tidak boleh bawa masuk ke kubur itu perlu membetulkan persepsi mereka.

“Kita bukan nak bawa wang masuk kubur tapi dengan wang memudahkan urusan dunia kita sebagai jambatan ke sana,” tambahnya.

Sikap sebahagian majikan di Malaysia juga dibangkitkan.

Pengguna Facebook, Muhammad Firdhaus Jamaluddin pula menyifatkan di negara ini, keuntungan dan pendapatan majikan diutamakan terlebih dahulu sebelum pekerja.

Sementara itu, Calvin Pang berpendapat salah satu sebab mengapa jumlah gaji di Singapura tinggi adalah kerana kerajaan Singapura membayar gaji tinggi kepada kakitangan kerajaan.

Oleh sebab itu, katanya, sektor swasta perlu membayar gaji yang tinggi juga untuk bersaing dengan sektor kerajaan.

“Di Malaysia, kerajaan membayar gaji rendah, jadi sektor swasta mengikutinya. Tiada gaji minimum di Singapura, tetapi kerajaan mereka memimpin melalui teladan,” ujarnya.

Dalam masa sama, jelasnya lagi, kos makanan di Singapura adalah rendah memandangkan kedai-kedai makanan perlu menyesuaikan harga mereka untuk bersaing dengan NTUC yang menyediakan barangan berkualiti pada harga terkawal.

Baca juga ‘Kalau firaun masih hidup, dia dah jadi tetamu beri motivasi’, warganet terus kecam sekolah buka pintu pada ‘mat rempit’