Malaysia Dateline

‘Kalau firaun masih hidup, dia dah jadi tetamu beri motivasi’, warganet terus kecam sekolah buka pintu pada ‘mat rempit’

Kemarahan orang ramai susulan tindakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi memberi ruang kepada seorang ‘mat rempit’ menjadi penceramah bahkan sampai mengaitkan firaun.

Gelaran yang merujuk kepada pemerintah Mesir sebelum zaman kegemilangan tamadun Islam itu muncul apabila pempengaruh media sosial, Haqiem Stopa menjadi penceramah motivasi di sekolah tersebut.

Dilihat warganet sebagai lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat apabila individu yang popular di TikTok itu dibawa masuk ke sekolah, ramai turut menyelar pihak pentadbiran yang membenarkan anak muda berkenaan diberi peluang begitu.

“Kalau firaun masih hidup, dia dah jadi tetamu SMK Sungai Besi jadi motivator untuk menceritakan kisah jatuh bangun dia sebagai firaun. Firaun kan ramai followers,” kecam Kamarul Afiq As-Subanji.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal yang jumpa Haqiem Stopa Mei lepas juga teruk kena kecam.

Ada juga reaksi yang hairan bagaimana pengurusan sekolah boleh membenarkan pemuda yang sekarang ini sedang bertongkat memberi ceramah motivasi.

“Macam mana pihak pentadbir sekolah boleh lepas pandang perkara ni? Masa mesyuarat tiada taklimat ke? Masalah di pihak pengurusan awal-awal lagi, pihak dijemput tu on saja la kan,” kata seorang netizen.

Untuk rekod, penganjur program Cerita Orang Gagal (COG), Rizan Hasan memberitahu bahawa pemilihan Haqiem Stopa sebagai penceramah bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang yang pernah gagal dalam kehidupan.

Program itu, jelasnya, merupakan perkongsian individu mengenai memberi peluang kedua kepada diri untuk berkembang melampaui kegagalan masa lalu dan menyesuaikan sikap positif terhadap kemungkinan masa depan.

Menurut Rizan, COG telah banyak menjelajah ke seluruh negara dengan menampilkan bekas pesalah juvana, bekas banduan, bekas kepulihan dadah dan sesiapa sahaja yang melalui kegagalan yang teruk untuk berkongsi pengalaman hidup.

Baca juga Timbalan Menteri kena kecam selepas benar-benar kagumi ‘mat rempit TikTok’

Baca juga Tak serik berumah tangga, Shila Amzah yakin tak semua lelaki sama