Tengah ‘trend’ sekarang ini berhubung kaedah jual beli cedok-cedok secara ‘live’ terutamanya di aplikasi TikTok, bagaimanapun ramai yang tidak tahu apa hukumnya.
Di TikTok sekarang ini menjual secara cedok-cedok sudah menjadi fenomena ada yang jual gula-gula, brooch, kosmetik dan emas pun ada.
Di mana pembeli tidak boleh memilih barang apa yang dikehendaki dan penjual akan mencedok untuk pembeli misalnya sekali cedok barang kosmetik berharga RM80.
Pembeli akan tentukan untuk membeli satu cedok, jadi penjual akan cedokkan secara ‘live’ satu cedok dan barang yang akan pembeli dapat nanti ‘random’ apa yang dicedokkan oleh penjual tu.
Menurut page Muamalat.my melalui wakilnya Ahmad Sufyan Che Abdullah menjual dengan cara ini adalah sama seperti jual beli gharar yang diharamkan oleh Nabi SAW.
Katanya, ia sama bentuk seperti jual beli al-mulamasah yang diharamkan kerana unsur gharar fahisy yang jelas.
Ikuti penjelasan beliau;
Rasulullah SAW telah melarang jual beli al-mulamasah dan al-munabadhah. (Sahih Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam Nawawi, al-mulamasah adalah bentuk jual beli barangan seperti baju yang mana disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual.
Mulamasah juga jual beli yang berlaku ke atas mana-mana barangan, tanpa melihat secara terperinci, maka dikira jual. Dan tidak boleh lagi ada pilihan.
Jual beli sebegini, menurut Ibn Hajar al-Asqalani sebagai bentuk jual beli jahiliah.
Imam Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil, tak sah kerana mengandungi unsur gharar.
Rasulullah SAW melarang keras bentuk jual beli gharar (Sahih Muslim). Gharar ialah jual beli yang mana pembeli tidak dapat pastikan barangan yang akan diperolehi (mastur al-aqibah). Bahkan bentuk dan struktur jual beli tersebut sudah dicipta untuk mewujudkan unsur ketidakpastian.
Gharar ada dua keadaan, sama ada gharar wujud, yang mana struktur asas jual beli itu tidak dapat dipastikan barangan diperoleh atau tidak.
Keduanya gharar al-siffah, iaitu ketidakpastian tentang produk jenis apa yang bakal diperolehi.
Cedoh-cedok adalah sama sama dengan jual beli mulamasah yang mana jelas struktur asasnya jualan berbentuk gharar. Ini kerana apa yang akan diperoleh oleh pembeli belum pasti dan tiada sebarang aras minimum barangan yang boleh dipastikan untuk diperolehi.
Hati-hatilah sama ada penjual atau pembeli, kedua-duanya diharamkan terlibat dalam aktiviti seperti ini. Ia adalah amalan jahiliah yang tidak wajar dijadikan bisnes mahupun sengaja nak buat konten.
“Mungkin ada orang kata, ala, setakat jual 5 ringgit gula2 je.. Oleh kerana by structure ia adalah gharar maka ia tetap haram,” katanya.
Baca juga: Minyak botol mahal, paket untuk domestik jadi Makcik Goreng Pisang nak guna minyak apa?