Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini.
Menerusi kenyataan hari ini, blok pembangkang tersebut menegaskan RUU yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan berhubung aduan tatakelakuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tidak memenuhi hasrat reformasi institusi yang diharapkan.
Menurut kenyataan bersama itu, RUU IPCC mempunyai banyak kepincangan dan lebih lemah berbanding badan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang wujud sekarang dan RUU IPCMC yang pernah dicadangkan sebelum ini.
Jelasnya, antara kelemahan RUU IPCC ialah anggota Suruhanjaya tidak berkecuali dan boleh dilucutkan bila-bila masa dan tanpa sebab dan Setiausaha Suruhanjaya dilantik Menteri Dalam Negeri, manakala EAIC melantik setiausahanya sendiri pada masa ini.
Berbeza dengan EAIC juga, Majlis Presiden PH berpendapat IPCC tiada kuasa siasatan seperti yang ada pada EAIC serta tidak membolehkan Suruhanjaya meneliti hal-hal di bawah Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO).
Turut dilihat sebagai kelemahan IPCC apabila tiada peruntukan untuk suatu lembaga tatatertib.
Dalam hal berkaitan, Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU IPCC 2020 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan ketiga oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dibahas seramai 18 Ahli Parlimen.
Menurut Hamzah pada sesi penggulungan perbahasan RUU itu, pihaknya mengadakan libat urus dengan seramai 1,059 orang berhubung IPCC.
Selain itu, sesi taklimat turut dianjurkan dengan banyak pihak termasuk pimpinan tertinggi PDRM, persatuan bekas polis dan wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Baca juga Beri kuasa pada KPN tangani masalah disiplin pasukannya – Patriot