Situasi membabitkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur mengalami blackout semalam menimbulkan tanda tanya orang ramai tentang apa yang terjadi sebenarnya.
Difahamkan, selain pusat membeli belah dan fungsi tren yang tergendala, situasi di jalan raya juga bertukar sesak selepas lampu isyarat di beberapa kawasan tidak dapat berfungsi ekoran terputus bekalan elektrik.
Namun apa yang menarik perhatian, beberapa keping gambar yang dikongsikan pengguna media sosial tentang dua hero tidak didendang, menyentuh hati rakyat Malaysia.
Salah seorang dari dua hero tersebut difahamkan adalah rider penghantar makanan. Dari gambar yang tular, mereka dilihat turun dari motosikal masing-masing dan membantu melancarkan kesesakan jalan raya.
Perkongsian sebuah laman Facebook yang menggunakan akaun Budak Letrik, telah menarik perhatian orang ramai yang nyata terharu dengan tindakan tersebut.
Pengguna jalan raya juga katanya tidak berhenti memberikan hon dan tepukan kepada dua hero berkenaan sebagai tanda terima kasih.
“Apabila KL blackout petang tadi tak ada elektrik, inilah antara hero-hero yang tidak didendang di jalanan.
“Lampu isyarat mati, jalan jem teruk. Abang Grab/Foodpanda yang kawal lalu lintas. Masing-masing hon, buka tingkap, jerit sambil tepuk tangan ucap terima kasih,” tulis pemuda Budak Letrik.
Rata-rata pengguna media sosial juga meluahkan rasa terharu dengan kebaikan yang ditunjukkan dua hero tersebut, bahkan ada yang berkongsi keadaan di mana penjual-penjual jeruk yang berada di tepi-tepi jalan raya turut membantu mengawal lalu lintas.
Baca juga: TMJ pun okay sahaja, dah arah admin ‘unblock’ Fahmi Reza
Baca juga: Fenomena nostalgia ‘tepek bedak’ Ryan Bakery imbau kenangan manis zaman kanak-kanak