Ada yang kena ‘reject’ oleh pasangan kerana masalah berat badan. Hakikatnya, Malaysia sendiri jatuh dalam kategori negara yang sedang mengalami masalah berat badan berlebihan dan trend obesiti menggerunkan.
Statistik terkini pun sudah menunjukkan satu dalam dua orang dewasa berlebihan berat badan. Bagaimana terutama bagi yang belum berkahwin dan sedang mencari pasangan mahu memastikan badan sihat dengan memiliki berat badan unggul?
Ikuti 7 tips ini untuk badan lebih sihat dan terhindar daripada mengalami masalah berat badan berlebihan demi mengelak risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi:
- Kurangkan minuman bergula
Suka atau tidak, kurangkanlah minuman bergula. Lebih-lebih lagi teh bubble, teh boba atau teh pearl milk selain minuman tin dan botol yang mengandungi jumlah gula amat tinggi.
Bukan sahaja cepat ‘membocorkan’ dompet anda, minuman teh susu yang dicampur dengan bebola bertekstur kenyal dan sukar dicerna dipanggil boba itu amat tinggi kandungan kalori.
Jika sebelum ini, setiap hari anda ‘ketagih’ minum air manis, cuba kurangkan secara berselang hari atau jika dalam sehari anda minum banyak kali tanpa mengira siang dan malam, apa kata disiplinkan diri minum air manis hanya sekali sehari.
Dalam masa sama, biasakan diri dengan minum air kosong. Jika anda penggemar kopi, cuba minum tanpa gula.
Selepas beberapa bulan, anda sendiri dapat merasakan adanya perubahan lebih baik termasuk mencapai berat badan unggul. Ya, kurangkan minuman manis tambahkan manis dalam senyuman.
- Lupakan biskut, kek dan pastri
Jika setiap bulan stok makanan anda wajib ada biskut selain kerap makan kek dan pastri apa kata mulai sekarang untuk badan lebih sihat lupakan itu semua.
Sekali lagi, tentulah payah meninggalkan secara mendadak makanan yang sarat lemak trans itu. Jadi, mulalah ‘melupakannya’ secara beransur-ansur daripada segi kekerapan mahu pun kuantiti.
Gantikan dengan potongan buah-buahan jika anda teringatkan biskut, kek dan pastri. Setkan sama dalam pemikiran anda bahawa anda mahu tampil lebih sihat. Sebaliknya, sikap terus menjamah makanan sarat gula tambahan yang sangat tinggi termasuk fruktosa akan membantutkan hasrat anda untuk mencapai berat badan unggul.
- Amalkan pengambilan makanan ‘suku suku separuh’
Amalkan setengah pengambilan makanan itu ialah sayur dan buah-buahan, suku protein seperti ikan dan suku lagi adalah karbohidrat seperti nasi.
Contohnya, jika anda makan bihun sup, suku mangkuk itu adalah bihun. Suku lagi adalah lauk seperti potongan ayam atau daging. Separuh lagi adalah ulam dan sayur-sayuran serta pencuci mulut dengan buah-buahan.
Amalan pemakanan ini memastikan pembahagian nutrisi makro iaitu karbohidrat, protein dan lemak adalah seimbang dalam setiap hidangan.
Ramai yang berdisiplin mengamalkan konsep pemakanan ini tersenyum lebar dengan hasil yang diperoleh selepas setahun.
Ada yang berkongsikan kejayaan mereka berjaya menurunkan berat badan daripada 18 hingga 20 kilogram selepas 12 bulan mengamalkan ‘suku suku separuh’.
- Tinggalkan makanan, minuman berproses
Makanan diproses berlebihan mengandungi banyak bahan tambahan seperti lemak tepu, gula dan garam tambahan, perasa, pengawet, agen pemekat atau penstabil dan sebagainya.
Makanan dan minuman diproses berlebihan biasanya mengandungi bahan-bahan yang tidak akan ditambah apabila kita memasak sendiri.
Ya, memanglah sedap tetapi kita ibarat meracun diri sendiri jika diambil dengan kerap dan banyak selain menggemukkan lagi badan.
Jadi, jika tidak mahu tubuh anda mengalami gangguan sindrom metabolik, tinggalkan makanan dan minuman berproses yang tinggi kandungan natrium dan gula.
Namun, tidak semua makanan yang diproses adalah tidak sihat. Selagi nilai pemakanan dalam makanan tidak berubah, tidak mengapa untuk dimakan.
- Awasi garam tersembunyi
Pengambilan garam atau natrium yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah hanya lima gram sehari atau 2,000 miligram (mg) sehari bersamaan satu sudu teh.
Namun, nampaknya rakyat Malaysia kuat makan garam dengan kadar purata 8.7 gram sehari.
Oleh itu, awasi garam tersembunyi. Baca label pada paket atau botol makanan lebih teliti. Nama-nama seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate dan Monosodium Glutamate adalah nama lain bagi garam.
Kandungan garam yang tinggi dalam darah akan menaikkan tekanan darah. Ini bermakna air ditarik dan dan menyebabkan bendungan cecair yang akan mengembangkan isipadu darah dalam arteri. Akibatnya, dinding pembuluh darah tertekan mengundang penyakit tekanan darah tinggi.
Jadi, jika mahu sihat, tinggalkan makanan yang jelas terasa masinnya termasuk kekacang kering (panggang) dan snek kekacang yang diproses. Ada kajian menunjukkan beberapa sampel makanan itu didapati lebih masin daripada air laut!
- Makan lebih banyak sayur dan buah
Bagi yang bekerja di pejabat tiada alasan untuk mendapatkan sayuran dan buah-buahan di restoran mahupun medan selera yang anda singgah.
Potongan buah segar misalnya jika di Kuala Lumpur dijual RM2 sebungkus. Belilah satu supaya menu tengah hari anda seimbang.
Sayur dan buah mampu mengurangkan risiko pelbagai masalah kesihatan seperti strok, kanser, darah tinggi dan obesiti.
Buah dan sayur mempunyai pelbagai zat nutrien yang membantu memenuhi keperluan vitamin dan mineral penting untuk tubuh badan.
Jika cukup makan buah dan sayur dalam diet seharian, kuranglah risiko anda diserang darah tinggi, kanser atau kegemukan.
- Bersenamlah!
Kajian beberapa tahun lalu mendapati lebih 40 peratus golongan dewasa di Malaysia tidak aktif dan kurang bersenam hingga berisiko mengalami berat badan berlebihan.
Harap anda bukan dalam peratusan itu. Carilah masa untuk bersenam kerana Tuhan memberi waktu 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu untuk kita mengatur masa.
Biasakan aktiviti fizikal seperti berjalan pantas. Jika premis dituju kurang daripada lima tingkat, cuba naik tangga daripada menggunakan lif.
Amalkan berjalan di atas ‘treadmill’ dan melakukan senaman regangan otot paling tidak 15 minit setiap hari sebelum pergi ke tempat kerja.
Jika kediaman anda dekat kawasan hijau apatah lagi taman riadah, jangan abaikan begitu sahaja. Bersenam dengan berjalan kaki selama 30 minit baik untuk membakar kalori yang terpendam.
Selang seli juga aktiviti senaman anda dengan berlari anak atau berjogging atau berbasikal. Tiada mana-mana senaman tertentu yang boleh dianggap terbaik sebaliknya kepelbagaian adalah sebaik-baik senaman.
Bak kata perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan selebriti, Kevin Zahri, senaman terbaik adalah suka hati anda.
Baca juga Lelaki ini kongsi rahsia tak rasa lapar walau ubah pemakanan