Malaysia Dateline

Lelaki ini kongsi rahsia tak rasa lapar walau ubah pemakanan

Tahun 2021 bulan Oktober, berat saya 120 kg. Isteri dah bertahun bising untuk saya turunkan berat badan sebab musim Covid-19, obesiti termasuk golongan yang berisiko (komordibiti) tapi saya masih macam tidak endahkan. Sekarang, saya dah hilang lebih 35 kg dari mengubah pemakanan.

Saya ingat lagi waktu itu saya dah sebulan lebih dapat suntikan vaksin dos kedua. Dada rasa lain macam, kesihatan pun macam tidak elok. Dalam kepala macam nak salahkan vaksin. Masa tu, saya balik kampung di Johor, saja periksa tahap kesihatan di klinik.

Lepas dapat result check darah, doktor cakap saya ada darah tinggi, asid urik tinggi, kolesterol tinggi. Pasal dada rasa tak sedap tu doktor tu cakap, mungkin itu petanda saya nak nak dapat atherocleorosis (salur darah mengeras). Biar betul?

Tak tahulah saya, kalau masa itu doktor tu saja nak menyakat saya. Tapi sejak balik dari klinik tu, saya seolah-olah mendapat kesedaran 360 darjah pasal kesihatan atau mungkin juga doa isteri dan keluarga selama bertahun ini Allah makbulkan.

Sejak itu, saya mula cari informasi pasal kesihatan. Akhirnya, saya terjumpa video Dr. Norman dan juga Dr. Eric Berg.

Sebelum itu, saya dah follow Dr. Eric Berg sebab saya nak cari info pasal atherocleorosis, baru saya jumpa video Dr. Norman. Baru saya tahu di Malaysia, ada doktor yang perjuangkan tentang ilmu pemakanan low carb dan high fat.

Sejak itu, saya telaah semua video Dr. Norman. Boleh saya katakan banyak ilmu yang saya dapat daripada dua orang doktor ini selari dan bukan “product based”. Apa yang menariknya, video Dr. Norman sebab dia kaitkan juga dengan ilmu sunnah dan al-Quran.

Sejak itu, saya ubah cara hidup saya secara total. Mula-mula, saya buat keto diet, tapi saya setuju dengan Dr. Norman yang keto mungkin agak strict untuk orang kita, jadi buat low carb dan high fat sajalah.

Sebelum ini, saya rasa dah tak nak ubah diri sebab sebelah mak saya ada diabetes, sebelah pak mertua pun ada diabetes. Dalam otak saya dulu, berkata ala benda ni genetik, buat apa pun nanti kena juga.

Tapi bila saya terus belajar daripada dua doktor ini baru saya faham tentang epigenetics, yang tidak semestinya keturunan kita ada kencing manis, kita perlu berserah semata-mata dan tak berusaha jaga kesihatan.

Gula pasir saya dah tak guna langsung, ganti stevia untuk minuman. Nak memasak saya gunakan gula kelapa organik atau gula monkfruit atau Erythritol.

Nasi pun masak letak minyak, sehari saya cuba makan carb maksimum 20 gram saja. Lebihkan sayur dan ikan. Ayam pun saya makan ayam kampung saja sebab ayam di pasar banyak yang makan jagung dan dedak. Daging? Saya hanya cari yang grass fed.

Saya tinggalkan juga segala makanan yang daripada tepung gandum macam kuih-muih, pastri, segala jenis mi dan roti, terutama roti putih.

Tapi saya akan makan sikit jika bersama tetamu. Bye bye kepada kuih-muih kegemaran dulu. Kalau teringin nak makan makanan bertepung macam lempeng saya akan buat sendiri guna tepung rendah karbohidrat macam tepung almond/barli/kelapa. Makanan proses? Terus tinggalkan.

Saya exercise minimum 30 minit sehari, biar sedikit tapi konsisten. Exercise tidak perlu melampau, tapi moderate.

Saya tak fikir nak kurus pun, tapi saya fikir aku nak ubah lifestyle, aku tak nak kena sakit jantung, aku tak nak kena diabetes, anak-anak aku masih kecil, aku kena sihat, aku perlu sihat sampai ke tua!

Saya dah kembali rajin memasak. Kali ini gunakan minyak sihat sepenuhnya. Kalau dulu guna kelapa sawit saja. Kali ini campur minyak kelapa, lepas goreng sayur letak sedikit minyak zaitun.

Nak makan lauk ringkas macam telur goreng pun guna minyak sawit merah. Kalau beli makanan di luar pun saya beli lauk untuk protein sahaja macam lauk ikan. Lauk sayur saya masak sendiri di rumah.

Saya makin obses belajar pasal pemakanan sihat. Masa saya banyak habis baca pasal makanan sihat. Dalam LRT pun layan video Dr. Norman. Makin lama saya belajar, makin banyak perkara baru saya tahu.

Dulu saya kira kalori nak makan, lepas itu baru saya tahu yang mazhab kalori ini tidak betul. Kalau dulu pergi pasar raya tidak pernah nak ambil tahu label nutrisi, kali ni saya mesti baca.

Paling penting mesti nak tahu berapa gula dan karbohidrat sesuatu produk. Nampak tinggi saja, terus tak beli. Saya jadi obses pada produk low carb dan sugar free.

Tapi ada masa juga yang sebenarnya bila kita terlalu obses “belajar” kita akan keliru dengan artikel dan juga laman web di luar sana.

Saya ingat lagi saya pernah tanya Dr Norman pasal minyak kelapa, sebab artikel itu kata minyak kelapa tak elok. Dr Norman reply:

“Tak payahlah pening belajar, saya dah belajar benda ni berpuluh tahun, awak ikut saja”.

Hah, ‘kan dah kena sound setepek. Lepas itu baru saya faham, bila saya terjumpa video Dr. Eric Berg, dia ada cakap yang tidak semua artikel dan kajian itu boleh pakai. Sesetengah artikel kesihatan ini ditaja atau didanai oleh syarikat makanan yang ada agenda tertentu.

Sebulan berlalu, saya tidak terfikir pun nak timbang berat, tapi saya dapat rasa perubahan yang lain, yang lebih baik.

Bila saya timbang rupanya saya sudah hilang hampir 10 kg dalam sebulan lebih saja. Biar betul? Tapi itulah yang jadi, sebab saya rasa banyaknya berat hilang, tapi saya tak lapar pun, saya makan sedap jugak. Macam mana boleh hilang??

Saya teruskan cara ini dalam bulan seterusnya. Teruskan low carb, high fat, exercise 30 minit sehari, intermittent fasting, tinggalkan gula putih.

Tapi bila kita ubah pemakanan, sebenarnya lemak kita juga boleh dibakar semasa kita tak exercise, waktu tidur pun lemak kita boleh dibakar. Sebab kita dah ubah badan kita dari sugar fuel ke fat fuel.

Dari makan dua kali sehari, saya dapat capai OMAD (one meal a day). Intermittent fasting dari 12 jam dapat jadi 18 jam. Last meal saya makan 7 malam (bulan biasa, bukan Ramadan).

Tak lapar ke? Bila kita makan lemak, kita akan kenyang lebih lama. Letak lemak sihat dalam minuman pun boleh buat kita kenyang. Badan dari gunakan gula sebagai tenaga dah mula gunakan ketones sebagai tenaga.

Masuk bulan kedua, lidah saya sudah macam sensitif dengan kemanisan gula pasir yang dulu saya selalu guna. Ada masa saya cuba rasa air manis yang isteri minum, saya dah tak boleh terima lagi air manis macam tu. Kalau tak dulu mesti boleh minum.

Saya buat apa exercise? Saya brisk walk saja. Saya tak lari, tak main basikal, tak lari berpuluh kilometer pun. Saya tak suka berlari, dari sekolah saya benci lari. Sambil brisk walk tu saya baca atau tengok video-video pasal pemakanan sihat.

Masuk bulan kedua, berat saya semakin turun. Masa ini saya pernah buat temujanji nak jumpa Dr. Norman tapi tak dapat sebab masa tu banjir di Shah Alam.

Tak mengapalah, tiada rezeki, tapi saya dapat juga jumpa jawapan dari semua penulisan Dr Norman. Alhamdulillah, saya setuju dengan Dr Norman yang ilmu ialah produk utama beliau (buku dan video).

Masuk bulan ketiga, saya rasa makin sihat. Isteri beritahu, saya tidur dah tak berdengkur! Kalau tak dulu, saya berdengkur bunyi kalau orang dengar pun takut.

Alhamdulillah, selain dapat kurus, perubahan saya juga gembirakan isteri. Masa ni saya makin gembira sebab saya dah dapat pakai balik semua baju yang saya tak muat dulu.

Lepas tu saya pergi check darah lagi. Saja nak check. Tekanan darah dah normal, asid urik ok, gula normal, kolesterol saja doktor klinik tu kata tinggi, siap tak kasi saya makan telur pulak.

Nasib baik masa tu saya dah faham pasal kolesterol sebab dah belajar dari Dr Norman pasal kolesterol. Kita tak perlu panik pun pasal kolesterol tinggi ni.

Saya juga pergi buat stress test di hospital untuk check jantung ni betul ke bermasalah, Alhamdulillah doktor kata ok.

Doktor pakar kardiologi tu kata teruskan apa yang saya sedang buat, apa yang saya tengah buat tu memberikan kesan baik pada diri saya dia kata.

Masuk April 2022, berat saya menghampiri 80 kg. Dan saya tidak pernah berlapar atau rasa terseksa nak kuruskan badan.

Saya tidak guna apa-apa produk kuruskan badan atau jus-jus merepek di kedai jamu tu. Saya niat nak jadi lebih sihat saja dulu.

Tapi kurus ni datang sendiri. Saya takkan kembali kepada cara pemakanan dan cara hidup seperti dulu walaupun dah kurus.

Orang kata, kalau kita diet sebab nak kurus, nanti dah kurus kita akan gemuk balik sebab itulah niat kita. Tapi saya berubah sebab nak sihat.

Sekarang saya rasa lebih sihat, badan makin ringan, isteri dan anak makin sayang, tumpuan kerja makin baik, memandu pun tiada rasa mengantuk macam dulu iaitu risiko microsleep.

Banyak perkara baik jadi pada diri saya. Sekarang ini, saya sedang tumpu untuk ajar anak-anak, isteri dan adik-beradik saya tentang pemakanan sihat.

Saya dah jadi macam doktor pula dalam keluarga. Paling terbaru saya gembira apabila anak-anak saya dah tolak Milo dan mereka dah mula kenal gula putih itu bahaya.

Dari Milo, saya gantikan serbuk koko yang berkhasiat dan letak stevia dan susu berlemak tanpa gula untuk anak-anak.

Tapi banyak lagi perlu dibuat, sebab silap saya, waktu mereka membesar saya banyak beri makanan berproses, tapi kita kena usaha. Kesihatan juga perlu usaha, macam rezeki, tidak boleh berserah saja.

Saya nak ucapkan terima kasih kepada Dr Norman atas usaha beliau memberi kesedaran kepada masyarakat.

Apabila kita dah faham konsep penting pemakanan sihat, kita nak makan apa saja kita dah tahu ia sihat ke tak, dan kita akan makan bukan sebab rasa semata-mata tapi sebab khasiat apa makanan tu beri pada kita.

Kepada yang sedang nak ubah pemakanan atau berubah menjadi lebih sihat, jangan putus asa. Pasanglah niat nak jadi lebih sihat untuk lebih mudah beribadat, untuk lebih sihat untuk keluarga.

Baca juga Lelaki ini kongsi 9 tips kurus dan sihat, terbukti berjaya kurangkan 12 kg selepas sebulan

Baca juga “Pergi blah dengan kau punya halal” – scammer wanita lepas kantoi curi makanan di hospital