Rezeki terpijak lepas kisah tular, Ustaz Ebit Lew hadiahkan rumah buat keluarga naik basikal roda tiga

Oleh KIM SYAZIE

Kelmarin, seorang pelakon veteran iaitu Sabri Yunus ada berkongsikan di Facebook miliknya berkenaan kisah sebuah keluarga kecil yang mengayuh basikal roda tiga bergilir-gilir dengan anaknya untuk mencari rezeki.

Isterinya pula hanya mampu duduk di dalam beca lama sambil melunjur kaki kerana hilang upaya untuk berjalan.

Kisah itu telah mendapat perhatian ramai termasuk pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang amat dikenali dengan sikap pantas membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

Seperti yang disangka, menerusi perkongsian Facebook Ebit Lew, beliau telah pun berada di Kota Bharu bagi menjejaki keluarga berkenaan dan telah bertanyakan keadaan mereka, selain berjanji untuk membina sebuah rumah baru untuk mereka berteduh.

Difahamkan, pakcik berkenaan tidak boleh berjalan dan isterinya mengalami kecederaan di kaki sejak sebulan yang lalu. Manakala, anak lelaki dan perempuan pasangan tersebut dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) lembam.

“Doakan kami akan bina rumah untuk keluarga ini. Semalam tular gambar mereka terus rasa sebak. Ramai tag saya di Facebook.

“Pagi ni terus fly ke Kota Bharu. Cari pakcik dan makcik ni sekeluarga di Tumpat. Pakcik tak boleh berjalan langsung. Isterinya baru dilanggar cedera dan anak-anaknya ada yang OKU lembam.

“Kuat berjalan mengutip besi, kotak, tin untuk dijual. Abang baju merah tarik dan adik tudung purple tolak. Jauh betul mereka berjalan setiap pagi sampai petang. Berat melihat mereka. Allahuakbar,” katanya.

“Saya tanya apa boleh bantu pakcik makcik. Mereka nak bina rumah. Sekarang menumpang di tanah orang lain. Terus ke tanah tadi. Kami akan bina rumah baru untuk pakcik makcik ni. Doakan ye. Semoga dimudahkan segala urusan. Nak bagi motor tapi mereka tak boleh bawa motor. Selesa berbasikal,” tambahnya lagi.

Ebit Lew memberitahu, setiap hari kedua-dua anak OKU lembam itu akan menemani kedua ibu bapanya untuk mencari rezeki dengan hanya menggunakan basikal tiga roda yang sudah tua.

Pada masa sama Ebit Lew juga menjelaskan bahawa keluarga berkenaan masih lagi mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jiran sekitar.

“Walau mereka begitu. Mereka ketawa je. Sentiasa bersama keluarga. Setia dua anaknya bersama ibubapanya mencari rezeki. Setiap hari keluar rumah dengan basikal istimewa ini. Suka melihat kasih sayang keluarga ini.

“Syukur mereka mendapat bantuan JKM dan jiran sekitar. Dan ramai yang suka membantu keluarga ini. Semoga Allah terima kita semua,” katanya.

Baca juga: Ramai ‘review’ watak Mat Kilau kurang menyerlah, gadis ini sanggup tengok dua kali untuk buktikan ia salah

Baca juga: “Buat apa belajar penat-penat sampai universiti tapi gaji RM2,000, lebih baik jadi TikTokers!”