Sudah Hilang Akal atau Tiada Akal?
Sistem demokrasi membolehkan proses memilih wakil rakyat dilakukan secara terbuka dan rakyat mempunyai hak sepenuhnya mengundi berasaskan keyakinan mereka terhadap misi dan visi sesorang calon dan parti yang diwakilinya.
Sistem Westminister yang diamalkan di United Kingdom telah menyaksikan selama ratusan tahun, Parlimen berfungsi dan parti memerintah silih berganti tanpa menjahanamkan negara tersebut.
Rakyatnya masih rakyat Great Britain dan kerajaannya masih Kerajaan “Her Majesty”. Cuma yang berubah parti yang memerintah. Inilah gambaran sebuah sistem matang dan rakyat matang dalam membuat pilihan terhadap kepimpinan negara.
Berbanding dengan Malaysia, beberapa pimpinan parti politik menampakkan kedangkalan fikiran, mundur hujah dan tidak demokratik. Kelesuan pemikiran dan kedangkalan akal ini menggambarkan betapa kusutnya pemikiran dan halatuju politik mereka.
Walaupun mencanangkan politik matang dan setahtera, namun di sebaliknya mempromosi politik cetek, memaksa rakyat mengiyakan mereka, kempen penuh kedunguan dan lontaran idea jelek malah kadangkala kelihatan bodoh.
Pengundi PH jahil agama?
Kenyataan baru-baru ini bahawa pengundi PH sebagai ‘jahil agama’ menunjukkan salah-satunya betapa jahil pemikiran pemimpin tersebut.
Pada suatu ketika tidak berpeluk bercium dengan Umno, pemimpin yang sama mengeluarkan kenyataan haram mengundi Umno hingga kiamat. Kini berdamping dengan Umno satu selimut pula, segalanya menjadi halal.
Minda celaru yang dikemukakan ini dilakukan semata-mata untuk memaksa minda rakyat supaya menobatkan bahawa politik mereka yang terbaik dan memilih calon mereka adalah dalam kalangan mereka yang cerdik beragama. Benarkah begitu?
Jangan izinkan lagi agama dijual
Politik jual agama dan pamir jubah serban sebagai identiti kepimpinan ummah sebenarnya idea usang. Menjual agama menurut acuan dan kehendak organisasi sendiri tidak lagi harus diizinkan.
Dengan menyatakan orang lain jahil dan tidak mempunyai nilai sebenar agama, adalah satu usaha untuk mematikan akal, membenam demokrasi atau mengacuankan demokrasi menurut kehendak mereka semata-mata. Ini tidak harus lagi diizinkan.
Inilah bahaya politik kolot, dangkal dan membina ketaksuban melampau kepada ahli semata-mata untuk berkuasa. Tanpa memikirkan masa hadapan generasi akan datang yang lebih matang, terbuka dan tanpa meninggalkan nilai budaya timur dan agama.
Ini adalah satu percubaan untuk merosakkan pemikiran dan minda rakyat. Maka, rakyat harus menolak secara total parti dan kepimpinan sebegini.
Dalam isu lain pula, momokan bahawa gabungan yang telah mengatasi mereka dalam PRU14 sebagai gagal dan berbohong dalam perlaksanaan menifesto, juga menggambarkan kecetekan hujah politik.
Tiada berjaya atau gagalnya dalam pelaksanaan menifesto secara mutlak. Tambahan pula bila peluang hanya diberikan selama 22 bulan. Apakah yang boleh dicapai dalam tempoh tersebut dengan kemudian dikhianati dari dalam dan luar pakatan?
Selama lebih dari 60 tahun, 13 pilihanraya umum telah kita lalui. Seiring dengan itu, ratusan kegagalan, penyelewengan dan penipuan juga telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
Ditambah pula dengan amalan kronisma dan nepotisma, kerakusan kuasa, penyelewengan demi penyelewengan, skandal demi skandal dan kemuncaknya berakhir dengan episod skandal 1MDB. Sebuah skandal peringkat tertinggi yang hampir menjahanamkan ekonomi negara.
Walaupun cuba dinafikan dan ditutup dengan pelbagai cara dan alasan namun dunia mengetahui betapa skandal ini merupakan skandal peringkat tertinggi yang mengerikan.
Bukan setakat skandal tetapi menafikan hak-hak negeri yang tidak mereka terajui adalah merupakan amalan mutlak mereka. Ini termasuk hak royalti yang dihebohkan beberapa tahun sebelum berlaga pipi dan bibir antara Umno dan Pas.
Ini hanya sebahagian kecil sahaja yang boleh kita perhatikan. Maka, rakyat perlu menolak pimpinan terencat atau hilang akal dan tidak memahami semangat demokrasi.
Rakyat tidak harus terpersona dengan lagi dengan imej seolah-olah menampilkan kewarakan tetapi kajilah dengan lebih mendalam lagi dari pelbagai sudut yang boleh membebaskan kita dari belengu idea kolot, caca-marba dan tidak maju.
Agama bukan milik mereka dan mereka tidak boleh menterjemahkan agama menurut pandangan dan kehendak mereka.
Sudah pasti agama perlu dipertahankan tetapi bukan mempertahankan mereka yang menjadikan agama sebagai bahan dagangan untuk kepentingan kekuasaan.
Tafsiran dan tohmahan ke atas golongan yang tidak mengikut kehendak mereka adalah pandangan yang sangat kolot dan perlu dinyahkan dalam proses pendemokrasian yang lebih matang.
PRU15, jika rakyat sedar dengan keperluan membina negara yang sejahtera, ekonomi yang mampan, kemajuan yang terurus dengan baik, pembasmian rasuah ke angka sifar, penolakan total amalan kronisma dan nepotisma, maka ia akan mengorak langkah mengembalikan negara mengatasi kembali negara jiran seperti Indonesia, Singapura atau Thailand.
Ahli politik khianat dan tidak jujur atau merasakan dialah sahaja boleh mengembalikan kemakmuran negara (walau telah dua kali menjadi Perdana Menteri) tidak lagi diperlukan dimasa akan datang.
Khurafat politik yang selalu dibawa oleh parti yang mengakui menjadi peneraju Islam dulu, kini dan selamanya harus di redam dari arus politik negara.
Ini kerana mereka bukan sahaja membawa khurafat politik tetapi telah puluhan tahun berdusta kononnya mahu memartabatkan Islam memperkenalkan rang undang-undang mengenai hudud dan sebagainya, hakikatnya adalah apbila berada di puncak kekuasaan meraka lah pendusta politik.
Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walau bagaimanapun penulisan ini adalah pendapat penulis dan tidada kaitan dengan pendirian akademi.
Baca juga: Petisyen gesa semua MP sokong GEG dan larangan merokok cecah lebih 220,000 tandatangan
Baca juga: ‘Mungkin menteri ada sejarah hitam dengan peperiksaan’, rakyat bimbang anak-anak makin malas belajar