Malaysia Dateline

Petisyen gesa semua MP sokong GEG dan larangan merokok cecah lebih 220,000 tandatangan

Satu petisyen bagi menggesa agar seluruh Ahli Parlimen menyokong pelaksanaan Generational Endgame (GEG) & Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 telah dilancarkan sejak beberapa hari lalu.

Petisyen yang digerakkan oleh pelbagai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu setakat hari ini sudah menerima lebih 220,000 tandatangan yang menyokong usaha berkenaan.

Menerusi kenyataan yang disertakan dalam petisyen berkenaan, kesemua 64 NGO berkata, jumlah murid dan pelajar menghisap vape kini semakin meningkat di mana kanak-kanak sekecil umur 8 tahun pun turut terlibat dan melakukan pembelian vape dari platform media sosial dan e-commerce.

Selain itu dakwa mereka, ada pelajar menjadi egen, menjual kepada rakan-rakan dan menawarkan bayaran ansuran, sehingga pengaruh budaya vape telah meracuni kampus sekolah. Murid-murid dan pelajar-pelajar juga dikatakan telah menjadi “target”. 

“Terdapat hampir 5 juta perokok di negara kita. Lebih daripada 500 orang mati setiap minggu akibat merokok (27000 setahun). Rokok merupakan satu-satunya produk dagangan yang terbukti membahayakan penggunanya. Walau bagaimanapun rokok masih dibenarkan untuk dijual di pasaran terbuka. 

“Pada tahun 2016, bilangan pengguna vape sudah mencapai 600,000 orang. Tapi, kerajaan pada masa itu telah memilih untuk tidak mengharamkan vape sakali gus. Hari ini, pengguna vape berganda 2x, mencecahi 1.2 juta orang. Kes penyakit EVALI (kecederaan peparu akibat penggunaan e-rokok dan vape) mulai timbul dan semakin bertambah. 

“Adakah ini generasi muda yang kita mahu? Apa lagi kita tunggu? Tunggu 27,000 nyawa terkorban tahun depan? Tunggu 10 tahun lagi dan hilang 270,000 nyawa rakyat?

“Adakah kita akan kesal jika kita pilih untuk membiarkan budaya toksik ini berleluasa. Kita berlagak mulia dan berpegangan pada hak kebebasan individu (kononnya) untuk menggunakan racun ketagihan. Kita terlepas peluang yang terakhir untuk mengharamkan rokok dan vape. 

“Kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, suara pengundi Malaysia, menggesa agar semua YB wakil rakyat dan ahli parlimen bersatu hati dalam menerima dan meluluskan cadangan GEG dalam RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok,” tegas mereka dalam petisyen berkenaan.

Sejak 18 jam lepas, 20,000 penyokong telah menandatangani petisyen berkenaan.

Terdahulu, sebuah soal selidik telah dijalankan secara dalam talian bagi melihat reaksi rakyat Malaysia mengenai pelaksanaan GEG & RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Ramai yang memberikan reaksi positif terhadap pelaksanaan GEG, namun berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan sehingga 27 Julai 2022, sebanyak 50.2% responden tidak mengetahui bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk melaksanakan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Walaupun begitu, 60.7% responden bersetuju bahawa pelaksanaan GEG dan RUU tidak menghalang hak dan kebebasan mereka.

Baca juga: SMS mendakwa MySejahtera beri RM800 melalui TNG eWallet adalah palsu, taktik curi data orang awam

Baca juga: ‘Mak guard’ tak bagi naik hantar makanan, rider terkejut kena maki bodoh dengan pelanggan

Baca juga: Pemergian Fajim Juffa sama seperti arwah bapanya, pernah terbabit dalam nahas pesawat pada 1989 hingga terkorban