‘Lain kali siat dan tepek kulit perasuah’, orang ramai kecam selera T20 gantung kulit pak belang

Oleh ARIF ATAN

Orang ramai mengecam ‘selera’ golongan T20 tertentu yang menyimpan dan mempamerkan kulit harimau belang di dinding rumah didiami.

Ada yang secara sinis menyarankan supaya siat dan tepek sahaja kulit geng kayangan terbabit serta perasuah memandangkan Harimau Malaya kini sedang diancam kepupusan.

Dalam masa sama warganet tertanya-tanya juga bagaimana perasaan golongan mereka menggantung lengkap seekor kulit hidupan liar itu.

“Macam mana tuan rumah boleh tenang tengok kulit binatang tergantung di dinding tu? Kalau saya setiap hari akan terbayang saja roh harimau tu,” tulis netizen.

Reaksi itu susulan rampasan kulit harimau Malaya dari sebuah kediaman mewah di Jalan Tun Razak di ibu negara oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Ekoran itu, pemilik kediaman warga tempatan berusia 40-an diberkas untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada kulit harimau itu adalah spesis tempatan selain sumber ia diperolehi.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penemuan kulit harimau itu
dibongkar hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) 2022 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mengejut pada jam 12 tengah hari di kediaman mewah itu melibatkan empat pegawai Perhilitan bersama lima anggota serta pegawai Bahagian Perisikan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Kadir berkata, pihaknya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebelum barang kes dirampas dan dibawa ke pejabat Perhilitan Wilayah Persekutuan.

“Suspek yang disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kini dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya lagi.

Harimau Malaya merupakan spesis terancam kritikal dengan populasinya kini kurang daripada 150 ekor di seluruh Semenanjung.

Populasi haiwan dengan nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni itu diancam pemburu haram dan penggondolan hutan.

Baca juga ‘Geraklah ke depan sikit’, bebelan wanita tiga anak ini mengundang sindiran

Baca juga Lebih 1,000 bangunan pencakar langit, Malaysia rekod antara terbanyak di Asia