Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Negeri Kelantan menggesa semua Ahli Parlimen untuk memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan Generation End Game (GEG) menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, walaupun kerajaan berisiko kehilangan punca pendapatan daripada cukai tembakau, namun manfaat yang akan diperoleh dari sudut lain sebenarnya banyak memberi keuntungan berganda dalam jangka panjang.
Dr Hafidzah melihat bahawa kos rawatan untuk tiga penyakit utama berkaitan rokok seperti kardiovaskular, pernafasan dan kanser, dianggar mencecah RM3 bilion, belum ditambah 30 lagi jenis penyakit lain disebabkan rokok.
Ini bermakna, kos sebenar rawatan yang ditanggung kerajaan akibat rokok selama ini adalah jauh lebih tinggi.
“Generasi penamat adalah satu bentuk kawalan perundangan yang melarang aktiviti berkaitan merokok seperti menggunakan, menghisap dan berada dalam milikan mereka sebarang bentuk produk merokok. Ini terpakai untuk generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan ke atas.
“Akta ini juga akan melindungi kesihatan generasi akan datang daripada masalah ketagihan nikotin serta bahan kimia berbahaya akibat daripada produk merokok termasuk vape.
“Justeru AWAN Kelantan mendesak agar semua Ahli Parlimen di mana kita sebagai pembuat dasar dan undang-undang tertinggi negara ini, menggunakan kuasa dan kehendak untuk menyokong RUU)Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 menerusi dasar GEG secara sebulat suara demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.
Untuk rekod, Malaysia mempunyai kadar perokok yang tinggi iaitu sebanyak 40.5 peratus dalam kalangan lelaki dan 20 peratus dalam kalangan wanita.
Dalam pada itu menurut Dr Hafidzah, dengan kadar prevalens penghisap rokok dalam kalangan remaja meningkat kepada 20 peratus, maka inisiatif undang-undang ini diharap dapat menghentikan wabak ketagihan rokok daripada terus merosakkan generasi akan datang.
Baca juga: Tak berminat konon! Orang putih kata ‘he spoke too soon’
Baca juga: “Do you know who am I? I am KPPA. Berdiri tegak, stand straight now”