Akibat kontroversi wanita tanggal pakaian pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam

Oleh NASUHA RAHMAN

Akibat kontroversi wanita bertindak menanggalkan pakaian ketika melakukan persembahan pemilik Crackhouse Comedy Club telah disenarai hitam daripada mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup.

Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 29 Julai lalu bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi itu berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias yang menjelaskan pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur, walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan.

Akibat kontroversi wanita tanggal pakaian pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam

Berkata dalam sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini, beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara turut dipantau pihaknya.

“Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami.”

DBKL menggantung sementara operasi Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail mulai 10 Julai lalu kerana tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

13 Julai lalu, Jalaluddin dilaporkan berkata, premis itu hanya memiliki lesen restoran dan minuman keras, tetapi bukannya lesen hiburan.

Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan umat Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan pada hari sama atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial.

Susulan itu, pengasas bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

Baca juga: Terus semangat nak belajar, guru ini ‘make over’ bilik darjah seperti kafe hipster yang ‘aesthetic’

Baca juga: Doktor tampar kanak-kanak sebab mencarut depan muka