Jangan biar kepala air Baling mengamuk di Kulim

Oleh ARIF ATAN

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor diingatkan supaya jangan pandang enteng dan harus belajar daripada bencana kepala air yang berlaku di Yan dan Baling.

Adun Kulim, KC Yeo, ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri Kedah perlu belajar daripada kesalahan pada 2019 di Sungai Kob, Kulim dan tragedi di Gunung Jerai, Gurun serta Baling baru-baru ini.

“Selaku Adun Kulim, banyak aduan telah diterima daripada penduduk khususnya kawasan peranginan Sedim bahawa terdapat aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.

“Kerajaan negeri jangan pandang ringan, jangan buat tak peduli kerana Kulim ada Gunung Bintang yang popular dengan aktiviti pendakian.

KC Yeo

” Dakwaan adanya aktiviti pembalakan di Sedim mesti disiasat segera. Jangan bila dah jadi banjir lumpur atau kepala air seperti di Yan dan Kupang, Baling barulah terhegeh-hegeh hendak turun padang,” ujar beliau dengan nada sinis.

Tambah Yeo lagi, kebimbangan penduduk Sedim, tentang aktiviti pembalakan telah pun dibangkitkan semasa sidang Dun Kedah yang lalu, tetapi tiada maklum balas segera dari pihak MB.

Kata beliau, amaran demi amaran tragedi kepala air dan banjir yang telah berlaku harus segera diberi perhatian.

Malah, ujarnya lagi, banyak nyawa yang telah terkorban menjadi satu kebimbangan besar kepada penduduk Sedim serta Kulim pada masa ini.

Baca juga Tragedi banjir Baling, hutan simpan digondol, siapa harus dipersalahkan?

Baca juga Wartawan yang mengangkat hak wanita di Malaysia, kenali Azah Aziz