Malaysia Dateline

Tragedi banjir Baling, hutan simpan digondol, siapa harus dipersalahkan?

Tragedi kepala air dan banjir di Baling baru-baru ini jelas dari kebanyakan komen menyalahkan projek penanaman durian ‘Musang King’ mengakibatkan berlakunya bencana tersebut.

Namun begitu, perlu dilihat juga bahawa kawasan Hutan Simpan Kekal di Gunung Inas telah ditukar statusnya kepada ladang pertanian oleh Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2007 dan dijenamakan sebagai Ladang Sejahtera oleh kerajaan Pas pada 2008.

Menurut Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bagi melaksanakan ladang di atas tanah hutan, sudah pasti pokok hutan perlu ditebang yang kebanyakkan bukan hanya pokok bernilai tinggi malah semua pokok hutan yang diluluskan oleh Jabatan Perhutanan.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan Pas seperti yang diakui oleh Menteri Besar (MB) sendiri dan adakah kajian Penilaian Impak Alam Sekitar atau EIA dibuat pada masa tebang bersih itu dilaksanakan.

“Sekitar tahun 2012-2013, saya antara pihak yang membantah projek Ladang Sejahtera di Kedah, bukan kerana pokok yang hendak ditanam, tetapi adalah kerana hutan simpan digondolkan.

“Juga pengalaman projek Ladang Rakyat di Kelantan oleh kerajaan Pas di sana menunjukkan bahawa kerja-kerja penanaman semula tidak dilakukan secara serius sehingga mengakibatkan banjir di negeri tersebut.

“Keputusan untuk menukar dari penanaman TLC kepada durian ‘Musang King’ telah dibuat oleh kerajaan BN dibawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Anipah dan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kedah Agro Sdn Bhd yang sebelum itu diamanahkan untuk menanam semula kawasan tersebut gagal melaksanakannya,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerlun.

Tragedi banjir Baling, hutan simpan digondol, siapa harus dipersalahkan?
Mukhriz Mahathir

Tambah Mukhriz lagi, Aman Mega Sdn Bhd yang dilantik untuk mengambilalih tanggungjawab tersebut, tetapi syarikat tersebut dibeli oleh syarikat ECK dan semasa pentadbiran Ahmad Bashah juga ECK dibenarkan menanam durian.

Malah syarikat ECK ini juga turut dianugerahkan projek mega lapangan terbang antarabangsa KXP oleh MB, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mana terkini anugerah tersebut telah dibatalkan setelah terbukti ECK tidak mampu melaksanakan projek mega tersebut.

Mukhriz yang juga merupakan Presiden Parti Pejuang Tanahair turut berkata apabila beliau kembali sebagai MB Kedah pada tahun 2018, keputusan telah dibuat untuk menghadkan penanaman durian kepada hanya 20 peratus kerana kerja penanaman sudah mencapai tahap tersebut dan Jabatan Alam Sekitar membenarkan peratusan tersebut bagi tanaman selain TLC dan tujuh spesis pokok hutan yang lain.

Tegas Mukhriz lagi, perlu diingatkan sekali lagi bahawa penanaman semula walaupun melibatkan kerja teres tanah, bukanlah punca hakisan tanah dan banjir, sebaliknya bencana tersebut tidak akan berlaku seandainya hutan simpan tidak disentuh bagi tujuan pembalakan pokok bernilai tinggi dan aktiviti tebang bersih atas alasan Ladang Sejahtera sebelum 2013.

Baca juga: Polemik jawatan TPM serupa RUU355; kedua-duanya Pas ada dalil

Baca juga: Lelaki basuh perut lembu guna mesin basuh, jimat masa