Pada malam pertama…

Oleh NASUHA RAHMAN

Bukan mudah untuk tidur, biar kelopak mata dipaksa-paksa memejam rapat. Sekejap mengiring ke kiri, ke kanan, terlentang. Mahu menairap terasa sesak dada pula. Malam itu adalah malam yang panjang. Fajar siang sangat lambat. Saya dapat rasai apa yang bekas Perdana Menteri alami.Terasa begitu terasing, terpisah dan jauh.

Mahu tahu waktu, tak tau kecuali bertanya dengan anggota polis yang bertugas. Baru pukul 2 pagi. Selang beberapa ketika tanya lagi. Baru jam 3 pagi. Sampailah waktu subuh bila terasa sayup-sayup suara azan kedengaran di celah lubang lokap. Teringat pesan tok guru, solatlah malam bila begitu.

Teringatjuga cerita Syed Qutb, Imam Abu Hanifa terpenjara dalam buku-buku yang pernah saya baca. Malam itu mula terasa mahu bermunajat. Rindu memanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Berkuasas. Tiada apa yang mampu saya lakukan kecuali mengisi malam dengan solat. Ayat al Quran yang sama diulang-ulang baca. Terasa kesal tidak banyak surah yang dihafal.

Mulalah fikiran melayang mengenang anak isteri yang terpaksa ditinggalkan. Anak-anak masih kecil mungkin mereka tidak faham mengapa masih belum pulang bapanya. Ibunya pun enggan berterus terang. Memujuk dengan mengatakan bahawa bapa mereka sedang berkursus. Anak-anak kecil percaya pujukan ibunya. Begitulah adat anak-anak yang bersih hati dan jiwanya.

Pada masa itulah saya memujuk hati. Bersabarlah. Inilah ujian yang Tuhan berikan kepada kamu. Jika kamu tabah dan sabar, nescaya Allah SWT akan kurniakan kemudahan dan keringanan pada masa hadapan. Mungkin ini ujian untuk meningkatkan taqwa dan hampir diri dengan Allah SWT. Bermacam-macam jenis monolog malam pertama itu.

Jika diberikan saya sekeping kertas dan mata pena, nescaya saya akan tulis puisi dan warkah dari lokap. Malam pertama banyak angan dan bayangan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran. Terasa seperti menjadi pejuang hebat. Terasa bangga membuktikan jalan perjuangan yang dipilih. Banyak perasaan yang bermain dalam pemikiran ketika itu.

Sejuk lantai simen lokap ada waktu mengurangkan kehangatan udara malam. Tiada ruang udara kecuali lubang kecil bergeriji dan atas bumbung yang terbuka. Jika hujan, pasti tempias air masuk ke dalam sel. Apabila panas, melekit-lekit badan berpeluh. Saya memilih tidak memakai baju seragam lokap kerana baunya tidak menyenangkan. Rela tidak berbaju.

Sepanjang tujuh malam itu, saya pilih tidur di koridor menghadap pintu lokap yang sedikit berudara dari luar. Lokap yang mempunyai empat sel dan tiga tandas tanpa pintu terpaksa dikongsi lebih 30 orang pada masa itu. Ikut peraturannya, lokap itu untuk 25 orang sahaja. Memang sendat macam ikan sardin dalam tin. Tiada selimut dan bantal. Kami tidur di atas lantai bersimen. Jika ada yang menyebut lokap atau penjara VIPP berbeza, saya tak tahu.

Saya bersama lebih berbelas OKT (orang kena tahan) ditangkap kerana himpunan Black 14 pada tahun 2000. Kami ditangkap di hadapan Masjid Negara kemudian kami dibawa masuk ke lokap balai polis Cheras. Mak bapa saya terpaksa rahsiakan penahanan saya. Tidak pernah terlintas dalam kepala arwah bapa dan keluarga, ada cucu Kiyai Yasin masuk dalam lokap. Masa itu, yang masuk lokap ialah pencuri, penagih dan penjenayah. Arwah bapa cakap yang masuk lokal adalah ‘orang jahat’.

Arwah bapa, mak dan isteri mahu jumpa dengan saya tetapi pihak balai tidak benarkan kecuali pada hari ketiga atau keempat. Itupun setelah puas arwah bapa minta. Mereka datang dari kampong. Jauh dari ibukota, Kuala Lumpur. Masa itu, dramatik pertemuan kami tiada hendak dibayangkan. Semalam dua terasa setahun lamanya. Apatah lagi jika 6 tahun atau 12 tahun.

Saya dan rakan-rakan dibebaskan atas perintah mahkamah sesyen di bangunan Sultan Abdul Samad pada hari ke lapan. Semangat perjuangan saya semakin kuat. Arwah bapa tidak lagi berasa malu atau kecewa anaknya dilokap. Ini kerana saya dilokap bukannya kerana merompak, mencuri, rasuah dsb. Saya ditangkap kerana menyertai perhimpunan haram sempena setahun Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun.

Saya ketika itu adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Perak. Kebanyakan yang menyertai himpunan reformasi adalah penyokong Anwar Ibrahim, ahli KeADILan dan ahli bawahan Pas.

Oleh sebab itu, penahanan saya ketika itu mengejutkan pimpinan Pemuda Pas dan penyokong Pas ketika itu. Memang tiada arahan daripada pimpinan Pas untuk menyertai perhimpunan haram itu. Saya pun tidak mahu kena tangkap semasa perhimpunan itu. Sesekali cabut lari daripada dikejar oleh polis dan FRU.

Namun sudah ditakdirkan saya kena tangkap pada petang itu bersama seorang lagi anak muda yang pergi ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan. Kini anak muda itu menjadi hakim di salah sebuah mahkamah di tanah air kita. Tentu dia akan teringat momen ini apabila mahu membuat sesuatu hukuman.

Baca juga: Bab RM42 juta dah selesai, RM4 bilion dana KWAP bila dapat kutip kembali?

Baca juga: Jangan tunjuk tingkah laku buruk pada umum, DG Hisham tegur Noh Salleh isu rokok di KLFW