Malaysia Dateline

Bab RM42 juta dah selesai, RM4 bilion dana KWAP bila dapat kutip kembali?

Bab RM42 juta yang masuk ke dalam akaun seorang individu sudah selesai, bagaimanapun perlu dingat jumlah sebenar sukuk Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada akaun syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) adalah RM 4 bilion.

Bekas CEO Lembaga Tabung Haji Datuk Nik Hasyudeen Yusoff berkata rakyat tidak tahu apa yang terjadinya kepada SRC yang melaburkan dana yang diterima dari terbitan sukuk KWAP.

Katanya, sudah tentu sebarang obligasi yang timbul sekiranya “pelaburan” itu koyak akan ditanggung oleh kerajaan Malaysia dengan menggunakan dana yang disatukan (consolidated fund) yang dikutip dari rakyat Malaysia melalui pelbagai cukai.

“Yang nyata, SRC sudah diambil alih oleh kerajaan Malaysia dari 1MDB.

“dari Kementerian Kewangan di dalam kes SRC menyatakan SRC diambil alih tanpa apa-apa ketekunan wajar (due diligence).

“Dana inilah juga yang digunakan untuk membayar gaji, pencen dan hutang kerajaan serta perkhidmatan kerajaan yang lain. Lagi banyak bahagian bayaran hutang, kurangkah bahagian perkhidmatan kerajaan kerana gaji dan pencen tak boleh dikurangkan, malah tuntutan untuk menaikkannya sentiasa ada,” kata beliau.

Beliau turut mempersoalkan perkara hak ditimbulkan di dalam mencapai keadilan kes SRC ini, adakah hak pihak yang akhirnya membiayai RM 4 bilion itu kecil dan diabaikan begitu sahaja?

“Saya tidak nampak perkara ini dibangkitkan oleh sesiapa. Adakah masyarakat menyangka bahawa salahguna dana kerajaan itu tidak ada mangsanya?” soal beliau.

“Mangsanya ialah kita semua sama ada melalui salahguna cukai yang dibayar mahu pun kekurangan kemudahan asas dan perkhidmatan kerajaan yang kita serta anak cucu kita tanggung,”tambahnya.

Jadi, katanya kes-kes yang sudah berada di mahkamah seperti 1MDB mempunyai kesan yang sama ke atas masyarakat.

Malah, bagi beliau kesan kes-kes seperti ini jauh lebih memudaratkan berbanding dengan kes-kes curi yang pelakunya mahu dipotong tangannya berdasarkan hukum hudud.

“Mengapa tidak dibincangkan juga skop undang-undang berkenaan ke atas jenayah kolar putih yang lebih besar keburukannya ke atas masyarakat?

“Kes kapal LCS pun tidak akan berakhir dengan kos yang disebut-sebut setakat ini.

“Kita kena ingat berapakah kadar tukaran asing Ringgit di masa projek dimulakan dengan sekarang. Oleh kerana kadar pembinaan kapal-kapal berkenaan amat jauh dari sasaran, tentunya banyak lagi perkara yang kena dibeli dari luar negara pada kadar tukaran asing sekarang.

“Kesannya bukan sedikit ke atas kos projek. Saya juga kesian dengan KD Mat Kilau. Walaupun Mat Kilau dinobatkan sebagai hero di dalam filem, tahap pembinaan KD Mat Kilau hanyalah 0 peratus. Ya, belum bina apa-apa lagi’ tambahnya lagi.

Justeru, katanya dalam kes salahguna kuasa dan korupsi, khususnya yang melibatkan kerajaan mangsa sebenarnya adalah rakyat.

Katanya hak yang terlibat di dalam kes ini bukan sahaja hak penjenayahnya tetapi hak pemilik-pemilik dana yang terlibat.

“Mengapa hak mereka tidak disebut-sebut? Adakah masyarakat kita gagal memahami mereka sebenarnya adalah mangsa jenayah? Sukuk dilangsaikan oleh kerajaan tidak bermakna jenayah ini tidak ada mangsanya,” soalnya.

Baca juga: Usah sedih! Banduan VIP diberi layanan berbeza, boleh akses internet atau tidur atas tilam berkualiti tinggi

Baca juga: Simpan duit sikit-sikit sebab nak bayarkan yuran KAFA kawan, bapa tersentuh lihat kegigihan anak