Belajar pun dari YouTube lepas itu berani lawan nasihat pakar, doktor beri amaran jangan dengar cakap doula

Oleh KIM SYAZIE

Banyak pembantu ibu hamil atau doula tidak bertauliah cuba menggunakan kelompongan akta yang ada untuk sewenangnya menguruskan ibu hamil yang berisiko tinggi dengan memberi ajaran bertentangan dari nasihat pakar perubatan.

Lebih parah, hanya dengan belajar di Youtube dan bersandarkan maklumat dari internet, golongan ini berani melawan nasihat mereka yang ahli dalam bidang perubatan.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah menegaskan bahawa khidmat doula tidak diperlukan untuk mengurus ibu semasa hamil, bersalin dan juga berpantang kerana doula itu sendiri bukannya satu bidang yang terlatih.

Bahkan mereka hanya belajar melalui YouTube dan tidak pernah ada satu badan akreditasi ataupun badan khusus yang menyelia kegiatan mereka.

“Ajaran yang mereka bawa hanya berkisar di sekitar kaedah bersalin yang tidak bertepatan dengan situasi seseorang ibu hamil. Malah pengurusan khusus semasa hamil, sewaktu bersalin dan selepas bersalin mereka tidak pun tahu dengan jelas bagaimana untuk menghadapinya.

“Begitu juga dengan sistem sokongan semasa proses bersalin dan selepasnya. Jika mengambil keputusan untuk bersalin di rumah tanpa kehadiran anggota kesihatan yang terlatih, bagaimana mereka ingin memantau keadaan si ibu, tekanan darah mereka, rentak jantung bayi dan banyak lagi pemantauan.

“Jika bayi lahir tidak bernafas, apakah alat bantuan pernafasan yang ada? Adakah mereka sudah bersedia dengan sistem sokongan sama ada kehadiran anggota mahir ataupun alat-alat bantuan dalam kesihatan?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.

Selain itu beliau melihat, doula hanya bercakap berdasarkan kepada andaian yang mereka dapat dari media sosial atau internet sahaja tanpa ada satu pembelajaran kemahiran khusus yang melatih mereka untuk menjadi mahir dalam bidang pendidikan kesihatan.

Baca juga: Nak capai ‘generasi penamat rokok’ jadi lebih sukar dengan lambakan rokok elektronik, vape

Baca juga: Wawa Zainal bersyukur hampir 100 ribu tudung wawa scarves terjual, raih RM2.5 juta dalam 24 jam