Gah bergelar negara maju, tapi rakyat Singapura makin terhimpit krisis kenaikan harga

Oleh ARIF ATAN

Singapura yang gah bergelar negara maju juga dikenali sebagai “Empat Naga Asia” selain Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan sedang berdepan dengan situasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya yang semakin besar.

Lonjakan kos sara hidup pada masa ini menyaksikan golongan keluarga berpendapatan selesa di negara yang lebih dua pertiga kawasan telah diliputi rangkaian generasi kelima (5G) itu turut terjejas.

Republik itu seperti beberapa negara Asia lain juga bergelut dengan inflasi tinggi bahana konflik berlarutan antara Russia dan Ukraine yang merupakan pengeluar utama, antara lain, minyak bunga matahari, gandum dan jagung.

Bukan sahaja kelas berpendapatan rendah terhimpit, rakyat Singapura dari golongan pertengahan juga sedang ‘mencungap’, termasuk penduduk yang dikenali Jason Guan.

Dia bekerja sebagai pengurus pembangunan perniagaan dalam industri teknologi kewangan di negara ini, lapor South China Morning Post dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Sebuah flat HDB di Kembangan, Singapura.

Keluarga Guan cukup selesa selepas memperoleh purata pendapatan isi rumah sekitar 12,500 dolar Singapura (RM39,973).

Jumlah pendapatan itu melepasi pendapatan isi rumah median nasional tahun lepas sebanyak 9,520 dolar Singapura (RM30,443) tetapi krisis kenaikan harga menyebabkan Guan seperti keluarga lain diasak kebimbangan.

Pengukur inflasi teras Singapura yang tidak merangkumi kediaman dan pengangkutan persendirian dilaporkan meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 14 tahun, pada Julai lalu.

Bahkan, beberapa pemerhati ekonomi menjangkakan Singapura mungkin tidak dapat lari daripada terkena tempias risiko kemelesetan global pada tahun depan.

Akibatnya situasi tersebut, keluarga Guan mula mengawal perbelanjaan mereka dengan menghabiskan sebahagian besar masa berada di rumah pada hujung minggu.

Sebelum ini, mereka keluar makan di luar. Guan memberitahu, cara itu membolehkan keluarganya berjimat kira-kira 2,000 dolar Singapura (RM6,395) sebulan.

Baca juga Sungai Furat makin kering, ini nasihat ustaz supaya kita bersedia

Baca juga Amboi! ‘Berkelah’ di lapangan terbang ya! Netizen nasihat keluarga ini cari tempat lebih sesuai