Cuaca panas melampau dibimbangi akan menjejaskan bekalan makanan global dengan tiga tanaman antara yang dijangka paling teruk terjejas.
Dalam tempoh 20 tahun akan datang, dunia akan mengalami masalah bekalan padi, koko dan tomato yang mencukupi akibat perubahan iklim ekstrem.
Penilaian risiko yang dilakukan oleh syarikat Verisk Maplecroft itu mendapati tekanan haba menyebabkan risiko melampau di 20 negara pertanian, termasuk India.
Namun, dalam tempoh beberapa dekad akan datang, ancaman itu dijangka merebak ke 64 lagi negara menjelang 2045, lapor AFP.
Kesemua negara terbabit mewakili 71 peratus rantaian bekalan makanan global, termasuk China, India, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).
“Dengan peningkatan suhu global dan tekanan gelombang haba, kita bakal menyaksikan lebih banyak tanaman tidak dapat dituai di negara yang beriklim sederhana,” kata Will Nichols yang merupakan Ketua Iklim dan Daya Tahan di Verisk Maplecroft.
Sementara itu, sebanyak 20 negara dijangka berdepan risiko sama termasuk pengeluar beras, Kemboja, Thailand dan Vietnam apabila ada pesawah di Vietnam sudah mula bekerja pda waktu malam bagi mengelakkan cuaca panas.
Negara ekonomi utama dunia seperti AS dan China juga menyaksikan risiko dalam sektor pertanian pada tahun 2045, walaupun kesannya tidak menyeluruh.
Baca juga Sungai Furat makin kering, ini nasihat ustaz supaya kita bersedia
Baca juga Memang tak makan daging khinzir, Daphne Iking tepis dakwaan rindu makan daging itu