Menulis sudut pandang atas subjek ini seringkali membuatkan perasaan bersimpang siur. Tidak dapat tidak, hati kecil ini perlu memperakui bahawa bangsa Melayu ini ialah bani yang mudah beremosi.
Namun bangsa yang beremosi secara fitrahnya ialah bangsa yang santun. Sebab itu banyak bangsa boleh tinggal bersama orang Melayu.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun, Melayu terkait dengan keganasan yang dizahirkan dengan jenayah pembersihan etnik.
Mengapa Melayu kekal santun? Bermulut huduh itu cerita lain. Tetapi hakiki sifatnya santun. Tidak lain kerana yang menguatkan Melayu itu ialah Islam.
Tiada bangsa yang mengikat identiti dirinya dengan agama Islam melainkan bangsa Melayu. Teras nilai-nilai murni dalam ajaran Islam melentur dan membentuk karakter Melayu menjadi bangsa yang santun.
Ibadat sang Melayu itu mungkin ala kadar. Tetapi identiti diri tetap santun. Santun inilah yang diterjemah kepada sikap terhutang budi dibawa mati, tunduk hormat dan gemalai bicara.
Bahkan Melayu secara tabiat apabila berbuat dosa, serapatnya tidak mahu mempamer terbuka. Malu menjadi tunjang asasnya. Kejap kemas rasa malu ini menjadikan masyarakat Melayu secara asasnya harmoni.
Menyanjung pembuat salah tiada dalam kamus peradaban Melayu. Bahkan dalam sejarah Melayu, sama ada dalam hikayat ataupun versi benar, Sang Raja yang berbuat zalim pun ada sisipan ‘amuk’ dan ‘derhaka’ dari jelata. Ia ditulis dan menjadi naskhah untuk anak cucu merujuk bahawa jika nilai adab ini dicabul, maka lawanlah.
Justeru apabila lewat ini, sifat malu dan santun tersebut mahu dirobek dan memang pun sudah dicarik siang dan malam, bahana untuk melayu tercemar identiti dan hilang jati diri akan membengkak. Perlahan-lahan ia menukar karakter lembut bangsa ini menjadi kebinatangan dan melemahkan iman. Batang pohon Islam yang menjadikan bangsa ini bermaruah akan rebah dek kerana bermatian mahu diajar bangsa ini tidak perlu perlu berasa malu jika berbuat salah.
Bahkan mahu diangkat dan dicium tangan. Diolah dan didakyah untuk dipanggil tuan. Atau apa yang disebut dengan lenggok kini? MALU APA BOSSKU’? Geli.
Tok nenek kita tidak pernah mengajar perkara seumpama demikian. Bahkan jika pejuang-pejuang Melayu yang ada kita filemkan itu masih hidup kini, nescaya akan dilawan dan dijerkah anak cucu ini. Ulama adalah institusi yang amat dihormati.
Yakinlah jika Tokku Paloh dan Haji Abdul Rahman Limbong masih hidup, nescaya tidak akan dibenarkan rasukan ini berleluasa menjarah akal fikir rakyat. Mana mungkin Melayu mahu dibentuk untuk mesra sakau dan melondeh sifat malu untuk diangkat pendusta dan penipu. Ini aib. Ini jelik. Ini kemungkaran yang tidak bertebing. Lagikan yang mencuri selipar di tangga masjid pun lari susup sasap sembunyi salah. Berjaya mencuri itu satu hal. Mahu diajar mengangkat pencuri itu luar biasa.
Perjuangan Melayu ke depan ialah tidak lain dan tidak bukan wajib melawan dakyah yang menjadikan bangsa ini hilang maruah. Jika tiada lagi asatizah dan ulama mahu menjerkah, tak mengapalah. Maafkanlah keuzuran mereka atau mungkin tersedak sagon hingga lelah. Bungkam suara atau lena. Biarlah anak cucu yang lain tampil ke medan melawan setakat daya.
Kerja hakiki sebagai wakil rakyat kurang pergi.
Kerja untuk parti bangun segar bergagah diri.
Biarlah..
Bangsa Melayu perlu sedar dan membenci berbuat salah. Benci rasuah. Benci sebencinya ibarat membenci ulat tahi. Kendatipun jika sudah berbuat salah, bangsa melayu tidak boleh diajar untuk julang pesalah.
Islam melarang kita bersifat demikian. Kita orang melayu. Bangun! Pertahankan rumpun ini yang sedang diracun akarnya untuk dibuang sifat malu dan santun. Jika ini gagal, daulah Melayu untuk dihormati akan pecah terbarai.
Lalu lahirlah nanti anak cucu yang bangga dengan berbuat kerja dosa, gadai harta pusaka, derhaka pada negara dan biadap ibu bapa.
Ini Harapan Perjuangan Melayu.
Menjadikan Melayu Bangsa Bermaruah.
Penulis merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Terengganu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu
Baca juga: Lelaki 63 tahun dedah sudah 53 kali kahwin bukan untuk kepuasan tetapi mencari kebahagiaan
Baca juga: Merajuk tak dapat ganja, lelaki sanggup duduk atas bumbung sampai dua hari