Tidak menunjukkan tanda sakit, ustazah ini ‘pergi’ ketika pimpin baca Surah Al-Baqarah

Oleh ARIF ATAN

Tidak menunjukkan tanda-tanda sakit ketika tiba di Masjid As Syafiiyah sebelum jam 6 pagi, seorang ustazah ‘pergi’ dijemput Ilahi jam 7.30 pagi semasa sedang memimpin bacaan Surah Al-Baqarah.

Ustazah Taslimah menghembuskan nafas terakhir ketika sedang memimpin program tahlil dan khatam al-Quran di Masjid As Syafiiyah, Jalan Al Barkah, Tebet, Jakarta Selatan pada 15 September lalu.

Rakaman video detik-detik akhir hayat beliau menunjukkan Ustazah Taslimah yang sedang duduk tiba-tiba terjatuh ke belakang ketika membaca ayat 6 surah tersebut yang kedengaran lemah suaranya.

Pihak pengurusan Masjid Al Barkah As Syafiiyah, Alwy Rasyid kemudiannya mengesahkan video kematian Ustazah Taslimah yang tular di media sosial itu.

Jelasnya, Ustazah Taslimah yang kerap bertugas memimpin doa dan pengajian di masjid itu meninggal dunia ketika memimpin program khatam al-Quran.

“Saat baca satu ayat al-Quran, di situ suaranya mulai melemah tapi terus mencuba,” lapor Agensi memetik portal berita tempatan.

Mengulas pemergian Ustazah Taslimah itu, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Lukman Ibrahim, berkata kematian dalam keadaan yang baik atau husnul khatimah mesti dicari dan diusahakan setiap manusia.

“Kita semua pasti akan mati dan perlu mati dalam keadaan husnul khatimah. Maksud husnul khatimah adalah kematian baik, yang (kita atau orang lain melihatnya) dalam keadaan dia berada dalam ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

“Ia memberi tanda, walaupun bukan satu kepastian bahawa orang ini mendapat kebaikan di akhirat dan menjadi ahli syurga,” kata Dr Lukman lagi dipetik BH Online.

Baca juga Tak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua; ini 8 amalan ‘pergi’ dalam husnul khatimah

Baca juga Kes amang seksual pendakwah selebriti dirujuk kepada TPR