Malaysia Dateline

Tak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua; ini 8 amalan ‘pergi’ dalam husnul khatimah

Tak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua demi ‘pergi’ dalam pengakhiran husnul khatimah. Ramai orang mengimpikan kesudahan hidup yang baik.

Meminjam pesan Imam al-Ghazali, cara mati seseorang mukmin itu ditentukan oleh cara hidupnya. Cara seseorang itu dibangkitkan pun akan ditentukan oleh cara kematiannya.

Ikuti perkongsian NIEZA NOR HAMNIRA mengenai Allahyarham suaminya, Ir Haji Zahairi Abu (1958 – 2022) yang dijemput Ilahi bulan lalu.

Semoga kita dapat istiqomah mencontohi amalannya sebelum tiba giliran kita pula menghadap Yang Maha Esa:

“Kami kasih dia. Allah lebih mengasihi dia. Dia yang dulu selalu bercita-cita mahu pulang pada usia seusia wafatnya Rasulullah SAW. Daripada Allah dia datang, kepada Allah dia kembali.

Kami terpanggil berkongsi tentangnya apabila ada yang bertanya-tanya kepada kami waris keluarganya, apa agaknya amalan dia. Masya Allah Tabarakallah. Kami mohon keampunan-Mu, Ya Allah, pujian hanya layak kepada Allah semata-mata.

Segan kami, berkira-kira kami tak apakah berkongsi? Nanti orang kata apa pula? Jika tidak berkongsi, apakah kami mahu simpan sendiri?

Bukankah itu juga termasuk dalam antara tiga perkara yang tetap berpanjangan mengalir walaupun jasad tiada lagi? Kerana Allah, inshaAllah kami berkongsi di sini.

Moga perkongsian ini dalam rahmat Allah, moga juga menjentik hati…

Jenazah Ir Hj Zahairi Abu disempurnakan di masjid yang ‘agak asing’ baginya, masing-masing tertanya-tanya siapa jenazah ini, jika bukan keluarga, tiada yang mengenalinya.

Namun, bilangan jemaah ramai solat buatnya dan berpusu-pusu mahu turut mengusung kerandanya, ada yang dapat sentuh pun sudah memadai. Masya Allah Tabarakallah.

Pulang dengan ‘tiket awal’ sejurus Jumaat bermula selepas maghrib di hari Khamis, tenang mengucapkan kalimah Laa ila illallah, asbab kanser usus dan cirit-birit yang dialaminya, keringat di dahi dan pengurusan jenazah daripada mandi, kafan, solat jenazah dan pengebumiannya, mudah dan lancar sekali. Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar.

Daripada Allah rahmat kesemuanya semata-mata apa yang kami saksikan, moga-moga ia petanda baik khusnul khotimah buatnya. InshaAllah, Aamiin Ya Robb.

Jika pengakhiran seseorang telah kita saksi dan terdetik rasa cemburu, mungkin sahaja itu tanda Allah mengetuk hati rasa ingin tahu dan boleh kita amalkan selalu.

Bagi anda yang pm dan hantar mesej jua yang hadir menziarahi kami dan bertanya apakah amalan arwah sepanjang hayatnya, dengan penuh rendah diri dan penuh takzim, hanya Allah layak dipuji, sekadar berkongsi serba sedikit amalan suami saya orang biasa, Ir Hj Zahairi.

Moga perkongsian yang sedikit ini mendatangkan manfaat dan motivasi.

Selain amalan biasa setiap Muslim setiap hari, arwah suami saya istiqomah inshaAllah kepada rutin dan cara sebegini:

1. Berjiwa besar, sentiasa mendahulukan orang lain.

2. Selawat, selawat, selawat, selawat, selawat.

3. Al-Mathurat Sughra (ringkas) pagi dan petang.

4. Tak tinggal al-Quran dan terjemahannya di harinya walaupun terkadang hanya sempat sehelai dua muka sahaja.

5. Sedekah Subuh dan sedekah Jumaat (istiqomah pada amalan), tidak berlalu sehari arwah jika tidak bersedekah walaupun dengan sedikit makanan atau berupa apa sahaja bentuk sedekah.

6. Tidak membazir makanan dan ajar kami bertanggungjawab dengan setiap kehendak kami dan bertegas dalam hal itu.

7. Bersungguh-sungguh jika diamanahkan sesuatu kepadanya, “Do it right – Don’t stop till you proud” mindset dan tidak bertangguh.

8. Utamakan dan selalu cari keberkatan Allah. Jika terdapat dua pilihan yang sukar, pilih yang lebih tinggi keberkatannya.

Wallahua’lam bissawab.

Mungkin itu antara amalan arwah yang boleh dikongsi, yang mungkin mudah dicontohi selain amalan biasa yang wajib seorang Muslim amalkan.

Tak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua. Kami percaya semua kita ada ‘sejadah ibadah’ kita, cuma pilihlah cara terbaik kita persembahkannya. Orang biasa pun mampu ke syurga.

Kita semua juga berhak ke sana. Allah Maha Baik, ada sahaja cara Allah nak mensyahidkan hambaNya. Berniat untuk mahu ke syurga pun Allah akan bantu jiwa.

Waktu kita akan menyusul tiba, moga khusnul khotimah juga rezeki kita semua bersama. Moga kita semua di dalam rahmat, kasih sayang Allah sentiasa.

Aamiin Aamiin Ya Robbal Alamiin
Barakallahu fikum semua.

Baca juga Cahaya menerangi hingga ke Jumaat berikutnya, ini manfaat amal baca Surah al-Kahfi

Baca juga Perubahan iklim adalah kesan bencana kepupusan besar-besaran