Nak redah banjir demi PRU? Zahid jangan lupa 54 terkorban, RM6.5 bilion harta benda rosak tahun lepas

Oleh KIM SYAZIE

Redahlah banjir Umno, tapi jangan lupa sudah 54 nyawa terkorban dan kerosakan harta benda saja mencecah RM6.5 bilion semasa banjir tahun lepas. 

Malah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disarankan supaya menarik balik kenyataan beliau yang mengatakan pemimpin Umno bersedia untuk meredah banjir sekiranya pilihan raya umum (PRU) ke-15  diadakan pada musim tengkujuh bagi membuktikan bahawa Umno masih sebuah parti yang  bertanggungjawab dan peduli rakyat. 

“Keempat-empat Presiden terawal Umno, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn pun diyakini tidak akan menyokong dakwaan Zahid yang seolah-olah menganggap nyawa yang terkorban dan kehilangan harta benda tersebut sebagai satu perkara yang tidak penting dan tidak perlu diendahkan. 

“Ini membuktikan betapa berbezanya Umno hari ini di bawah kepimpinan Zahid jika dibandingkan dengan kepimpinan Umno sebelum ini. Serta membuktikan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda rakyat yang melibatkan berbilion ringgit tidak menjadi satu persoalan penting bagi kepimpinan Umno kini. 

“Tidak mengejutkan apabila Umno menjadikan Malaysia sebagai sebuah syurga kleptokrat di dunia yang mana ia adalah satu perkara yang tidak akan dibiarkan berlaku oleh keempat-empat pimpinan terawal Umno tersebut kerana mereka lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan bukannya kepentingan diri,” ujar Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim  Kit Siang.

Baca juga: Persediaan hadapi banjir Pulau Pinang lulus peruntukan sebanyak RM400,000

Baca juga: Pelajar IPT buat rumah macam pusat sampah, pemilik luah sebab inilah ramai trauma nak sewakan pada pelajar