Ini cerita Awie tentang Bob Lokman sejak masih berniaga tembikai

Oleh ARIF ATAN

Vokalis Wings, Datuk Awie berkongsikan banyak kenangan manis terpahat kemas dalam ingatan sepanjang mengenali penulis lirik, pelawak dan pelakon terkenal, Allahyarham Bob Lokman.

Menurutnya, hubungan dengan Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman rapat secara tidak sengaja sekitar 1986 ketika mereka membuat persembahan di kelab malam.

Hinggakan Awie pernah mengikut arwah pulang ke kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan dan dihidangkan juadah enak hasil air tangan arwah ibunya.

“Arwah mulanya hanya sekadar ikut-ikut Wings ketika kami membuat persembahan di kelab malam. Ketika itu, arwah yang masih berniaga tembikai.

“Dari situ bermula perjalanan arwah sebagai pengurus Wings. Namun, arwah hanya sempat bersama Wings selama tiga tahun sebelum menjaga Datuk M Nasir.

Akhirnya, kata Awie, arwah sendiri berjinak-jinak sebagai pelakon, pelawak dan pengacara,” dipetik BH Online.

Awie berkata, mengenali pelakon Yes Tuan!, Iskandar dan Jin Notti itu, arwah seorang yang akan mengejar apa yang diinginkan.

“Jika inginkan sesuatu, arwah akan berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya,” kata Awie.

Imbau Awie, arwah pernah memberitahu pandai berpidato sehingga pernah memenangi Pemain Terbaik di sekolah.

“Mungkin kehebatan berpidato mendorong minat arwah menjadi wakil rakyat.

“Bukan itu sahaja, arwah pandai menulis lirik sehingga berjaya menghasilkan beberapa lirik popular. Salah satunya, lagu berhantu, Taman Rashidah Utama nyanyian Wings yang cukup popular.

“Lagu Taman Rashidah Utama adalah ciptaan Eddie Wings, tetapi ketika itu, arwah minta izin menulis lirik lagu kerana baru kecewa. Tidak sangka, lagu ini diminati ramai sehingga hari ini,” katanya.

Awie berkata, dia amat terasa pemergian arwah sebagai seorang yang pernah berkawan rapat dengannya sebelum tidak berhubung apabila Bob memilih meninggalkan dunia seni.

“Arwah pandai buat lawak, setiap kali bersamanya pasti kami tidak kering gusi.

“Beliau juga seorang bijak menyusun perjalanan pekerjaan dengan baik. Saya terkilan tidak dapat menziarahi arwah buat kali terakhir kerana terikat dengan kerja.

“Tetapi, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraannya sepanjang masa.

“Banyak kenangan indah kami bersama. Jujurnya, saya tak simpan sekelumit dendam kerana banyak perkara baik yang arwah lakukan untuk kami,” kata Awie lagi.

Allahyarham Bob Lokman meninggal dunia di kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan pada usia 58 tahun akibat komplikasi jantung, jam 3 petang semalam.

Baca juga Pelarian ‘red notice’ paling terkenal ada di China dengan tiga pembantunya – Wartawan ini dedah di mana lokasi Jho Low!

Baca juga Lebih 20 warga China hilang akibat bot karam di Kemboja