Sukar untuk Salahudin menerangkan penglibatannya dengan Pas kepada ahli keluarganya terutama ibunya. Sanak saudara, jiran tetangga dan hampir seluruh orang kampong Serkat adalah penyokong parti kerajaan – Umno. Ini kisah tahun awal 80an yang jarang dikongsikan kepada generasi muda yang kosong dengan sejarah perjuangan.
Ini bukan soal betul atau salah perjuangan tetapi adalah soal jalan perjuangan yang dirintis sehingga membina personaliti, membentuk pemikiran dan pendekatan memimpin. Memilih jalan lurus atau jalan yang penuh liku. Meninggalkan atau menghindarkan daripada melalui suatu jalan perjuangan bukanlah suatu kebetulan tetapi adalah kesan himpunan pengalaman yang panjang.
Salahuddin kelahiran Johor. Umno juga dilahirkan di Johor. Umno diasaskan dan diketuai oleh Dato Onn Jaafar, bekas Pegawai Daerah Muar. Umno dilancarkan di istana Sultan Sultan Abu Bakar, Sultan Johor. Pengaruh Umno di Johor bukan alang kepalang. Johor adalah kota dan kubu pada parti Melayu itu.
Umno adalah nadi Melayu. Umno adalah kuasa Melayu. Umno ada segala-galanya buat Melayu. Inilah satu-satunya parti yang mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu. Tiada parti buat orang Melayu kecuali Umno. Nokhtah.
Hanya Salahudin dan beberapa kerat sahabatnya menyongsang arus. Melawan Umno. Menentang kerajaan. Menentang parti yang membawa tanah air ini merdeka. Buat kerja gila.
Cikgu Hamizi yang mula-mula membuka pintu hati Salahudin pada Pas. Cikgu Hamizi adalah orang Melaka yang bertugas di Johor. Cikgu Hamizi bertugas sebagai guru di Serkat. Orang kampong Serkat yang bersama Salahudin dengan Pas boleh dibilang jari.
Orang kampong Serkat percaya bahawa Pas adalah satu ajaran sesat. Pas memecah belah masyarakat dan sangat ekstrim. Berita akhbar Utusan Melayu tentang kejadian dua imam di Terengganu dibahas hebat di kedai kopi di Pekan Serkat. Cerita gejala kafir mengkafir sesama orang Melayu sukar ditolak. Orang kampong Serkat sukar menerima politik sebegini. Pelik politik sebegitu.
Orang Serkat tidak mahu masyarakat kampong berpecah belah kerana politik. Masjid Serkat mestilah diimarahkan bersama. Jangan ada penceramah datang berceramah tentang politik. Masjid adalah tempat orang beribadah. Bukan tempat berbalah.
Setiap kali ibunya, Aminah bertandang atau hadir ke majlis keramaian, kenduri-kendara di kampong, cerita anaknya bersama parti yang memecah belah masyarakat, terpengaruh dengan ajaran sesat sangat mengganggu fikiran ibunya. Hati ibunya tidak tenang. Resah ibunya berterusan. Hanya airmata hangat ibunya yang mereda sementara tekanan yang ditanggung.
Aminah tidak jemu menegur Salahuddin, anak sulongnya itu. Sebagai ibu, Aminah sudah tidak sanggup orang sekelilingnya mencemuh anaknya itu. Sesekali Aminah termakan kata jiran tetangganya tentang anaknya telah mengikut ajaran sesat. Anak sulongnya telah masuk ajaran sesat dan minum air anjing hitam. Begitu sekali tuduhan terhadap anak sulong mereka. Meskipun begitu, hati kecilnya sedaya upaya menidakkannya.
Suaminya, Cikgu Ayub adalah seorang guru yang mengajar agama. Begitulah juga, ayah Aminah, Cikgu Awang adalah seorang guru agama. Ayahnya yang mengajar al Quran dan fardu ain. Mana mungkin anak sulongnya itu boleh terjebak dengan ajaran sesat?
Aminah kerap juga melihat anak sulongnya ke masjid solat berjemaah. Aminah sukar menerima segala tuduhan sanak saudara dan jiran tetangganya tentang anak kesayangannya itu. Salahudin dibesarkan dengan kasih sayang dan suasana pendidikan agama yang kuat.
Salahudin bukanlah zaman remajanya dihabiskan dengan kebiasaan anak remaja kampong. Mencari burung, menjerat lutong, bermain snooker atau pergi bermain mesin game. Salahudin tidak pergi menonton wayang ke pawagam Rex atau Capitol di Pontian. Salahudin tahu, ayahnya pasti tidak suka dia berkawan dengan budak-budak merokok. Meski sesekali Salahudin cuba meraikan kehendak kawan-kawannya. Tidak lebih daripada itu.
Aminah sendiri melihat perbezaan antara anaknya dengan anak -anak jiran tetangga serta sanak saudaranya. Salahudin pada pandangan mata Aminah sebagai ibunya adalah seorang remaja yang lembut, sopan dan taat mendengar kata kedua orang tuanya.
Cikgu Ayub tenang menghadapinya. Dia lebih banyak senyap daripada bercakap. Dia mungkin memendam dalam diam. Gaya badan dan riak wajahnya sudah memadai untuk Salahudin memahami isyarat yang hendak disampaikan oleh ayahnya. Itulah cara anak dan ayah berhubung. Banyak berselindung dari berterus terang. Tidak seperti ibunya, Aminah yang berterus terang kepada anaknya. Apa yang terbuku di dalam hatinya, diluahkan semahu-mahunya.
Pernah suatu ketika, ketenangan Cikgu Ayub bagai sampai ke dinding. Cikgu Ayub koyakkan sijil keahlian Pas adik Salahuddin, Aminuddin. Sijil parti ini tidak boleh disimpan di dalam rumahnya. Sijil parti yang memecah belahkan orang kampong tiada keperluan untuk disimpan. Entah bagaimana boleh bapa mereka terjumpa sijil itu.
Manakala waktu itu, Ghazali anak kedua Cikgu Ayub tidak berminat dengan politik. Hanya Salahudin dan Aminuddin yang berminat dengan politik. Cikgu Ayub walaupun bukan pemimpin Umno tetapi dia adalah orang penting dalam masyarakat yang dikuasai Umno. Cikgu Ayub banyak menggerakkan aktiviti sosial di Serkat. Kebanyakan pemimpin-pemimpin Umno adalah rakan-rakannya.
Ketika itu, Salahuddin sememangnya menyongsang arus dan sukar difahami jalan yang dipilih.
Tulisan ini adalah sebahagian cerita mengenai memoir Salahudin Ayub yang masih dalam proses penulisan.
Baca juga: 5 rahsia menjadi kaya-Lelaki ini bongkar bagaimana orang Cina membina kekayaan
Baca juga: Polis jumpa mayat wanita terperangkap dalam kereta