Ummah meratap kehilangan permata ilmu Sheikh Yusuf Al Qaradawi

Oleh NASUHA RAHMAN

Ulama umpama bintang bersinar di langit yang memberi arah tunjuk kepada musafir dalam perjalanan mereka ketika kepekatan malam di lautan dan daratan.

Demikanlah perumpamaan bagi menggambarkan betapa menfaatnya ilmu para ulama kepada manusia pada masa mereka dalam kekeliruan mencari jalan kearah destinasi masing-masing.

Dr Yusuf Al Qaradawi adalah satu intitusi dalam mengolah pemikiran Islam kontemporari pada era Syariat Islam diragui kredibelitinya dan kewajarannya dalam kehidupan bernegara dan bersiyasah hari ini. Qaradawi muncul hasil dari dua era yang membentuk gagasan idenya dan olahannya pada realiti yang dihadapi.

Era ketika kebangkitan gerakan Islam disambut dengan penindasan dari regim berkuasa dan dilabel sebagai “anti-establishment” (30an-80an) manakala satu era lagi ialah era keterbukaan (90an-hingga kini) dimana gerakan Islam berada pada “mainstream” bergelut untuk membentuk identiti warga yang setia kepada watan dan bangsanya. Dr. Yusuf Al Qaradawi berkarya dan berdakwah dari kesan dua era ini dan muncul sebagai rujukan ummah yang dahagakan jawapan dan solusi.

Ketokohan ilmunya dalam disiplin ilmu Fiqah Legaslatik tidak dapat dinafikan. Fatwa Al Qaradawi menjadi rujukan kerana pandangan Fiqahnya yang sarat dengan elemen Nawazil (kejadiaan & perkembangan baru) diadun dengan asal hukum sehingga menelurkan formula/formulasi manhaj Waqie yang kukuh dan segar.

Contohnya dalam soal status bukan Islam Dzimmah dan Harbi, ulamak besar ini berani memformulasikan kaedah baru kefahamannya bahawa tiada lagi istilah Dzimmy dan Harbi secara operasional kerana kerangka kuasa pemerintahan yang ada tertegak atas pembahagian negara kepada konsep negara-negara bangsa dan bukan konsep Darul Islam-Darul Harbi.

Lagipun konsep cukai jizyah (cukai perlindungan untuk bukan Islam) tidak lagi operasional bahkan hari ini diganti dengan cukai umum yang tidak membezakan subjek atas garis agama mahupun keturunan. Konsep haq al-muwatin (hak warganegara) menjadi kontrak antara pemerintah dan subjek maka segala hukum dzimmy dan harbi terbatal kerana tidak ada sebab kewujudan hukum itu lagi.

Namun Qaradawi menetapkan secara tegas bahawa prinsip keadilan dan memenuhi hak kekal memandu konsep haq al muwatin. Keberanian fatwa Al Qaradawi meletakkan tokoh ini dalam pertembungan berpanjangan dengan kelompok Feqah Literalist yang enggan berganjak dari ketetapan hukum asal.

Pertemuan langsung saya dengan Dr Yusof al Qaradhawi adalah sebanyak 2 kali. Sekali pada tahun 2009 dalam kunjungan resmi beliau ke Malaysia untuk menerima Anugerah Antarabangsa Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia.

Saya sempat hadir kuliahnya di Masjid Shah Alam dan dijemput semeja dengan beliau usai kuliah untuk makan malam bersama dan sempat bertukar pandangan. Kali kedua ialah pada tahun 2015 di Doha Qatar ketika saya berkunjung ke pejabatnya untuk memaklum kelahiran parti baru bernama Parti Amanah Negara serta perkembangan politik semasa di Malaysia.

Saya memaklumkan padanya dalam pertemuan tersebut tentang Tun Mahathir berubah sikap lunak dan kekesalannya terhadap apa yang berlaku ke atas DS Anwar Ibrahim yang masih dipenjarakan ketika itu. Dr Al Qaradawi terkejut dan mengulangi soalan kepada saya beberapa kali “betul kah apa yang anda katakan ini?” Saya jawab dengan konfiden “…ya betul Syeikh…” Dia senyum gembira sambil mendoakan kepada DSAI supaya Allah memuliakan DSAI dan sekaligus saya memahami betapa kasih dan simpatinya Syeikh terhadap DSAI.

Al Qaradawi mempunyai pengaruh besar dalam membawa naratif Islam berwajah kontemporari tanpa perlu hilang prinsip asal syariat. Beliau turut dibenci bagi sesetengah pemimpin negara Arab kerana ketegasan sikapnya terhadap kediktatoran. Beliau tegas dalam memperjuangkan soal Palestine malah baginya satunya negara kekal berstatus Darul Harb (negara musuh wajar diperangi) ialah Israel.

Umat Islam diberi anugerah oleh Allah dengan kebanjiran ilmuanya dan ketegasan prinsip Al Qaradawi. Syeikh Al Qaradawi membimbing ummah ketika dunia menuduh Islam sebagai agama keganasan. Al Qaradawi menentang keganasan atas nama Islam mahupun atas mana-mana agama, Al Qaradawi mempercayai kaedah berdakwah, menyampaikan ilmu dan berhujah serta mengajar di dewan-dewan kuliah.

Syeikh Al Qaradawi menulis, berkarya dan menyampaikan syarahan seluruh dunia. Beliau berani mengkritik gerakan Islam supaya lebih bersikap terbuka menerima demokrasi tanpa perlu hilang prinsip asas Syariat yang berpaksikan keadilan. Beliau turut dibenci oleh para takfiri (kelompok yang mengkafirkan sesama Muslim) kerana golongan takfiri tidak beradab melalui tradisi ilmu, hanya kecaman dan kebencian terhadap orang lain.

Al Allamah al Syeikh Dr Yusuf Al Qaradawi adalah lambang keilmuan, ketegasan prinsip dan benteng umah ketika diasak melalui pertempuran pemikiran. Allahyarham akan dikenang sebagai kurniaan Allah kepada umat ini melalui banjiran ilmunya dan kewibawaanya mempertahankan asas-asas Syariat dalam perubahan zaman. Al Fatihah…

Baca juga: Tokoh ini akui Syeikh Yusuf berhikmah perbetul pendapat ulama yang terlalu bermudah-mudah dalam urusan agama, ikut kemahuan rakyat atau pemerintah

Baca juga: Harap privasi dihormati, Neelofa tak akan sembunyikan Bilal selamanya