Malaysia Dateline

Tokoh ini akui Syeikh Yusuf berhikmah perbetul pendapat ulama yang terlalu bermudah-mudah dalam urusan agama, ikut kemahuan rakyat atau pemerintah

Seorang tokoh ilmuwan masyhur, Almarhum Shaykh ‘Abd al-Fattāh Abū Ghuddah (1917 – 1997) pernah mengakui Allahyarham Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi berhikmah dalam urusan amar makruf nahi mungkar.

Menurutnya, Syeikh Yusuf dikurniakan oleh Allah “pena yang mengalir laju, minda yang hadir dan pintar, ilmu yang ‘hidup’ dan banyak, keikhlasan yang mampu disaksikan kesannya”.

“Dengan segala kelebihan ini, beliau telah berjaya membantah dan memperbetulkan beberapa pendapat syaz yang dikeluarkan oleh sebahagian ulama yang mutasāhil (terlalu bermudah-mudah dalam urusan agama) atau yang musāyirīn (yang terlalu mengikut trend dan kemahuan rakyat atau pemerintah).

“Kesemua ini dilakukannya dengan adab seorang alim yang mahir dan berjiwa seni (dalam menyampaikan maksud), dan dengan keilmuan seorang faqīh yang memiliki kesedaran penuh tentang situasi sebenar nan pintar pula,” katanya.

Menerusi tulisan yang diterbitkan sempena ulang tahun kelahiran Syeikh Yusuf yang ke-70 itu, Shaykh ‘Abd al-Fattāh menjelaskan ulama berkenaan berkebolehan melantunkan syair yang halus berseni.

Berikut petikan buah tangan Shaykh ‘Abd al-Fattāh dalam bukunya berjudul, ‘Faqīhunā wa Murshidunā al-‘Allāmah Yūsuf al-Qaradāwī’ yang diterjemahkan oleh Mohammad Syafiq Ismail dengan tajuk, ‘Faqīh dan Murshid Kami: al-‘Allāmah Yūsuf al-Qaradāwī.’

Terjemahan yang diterbitkan pihak Abim Press ini, menurut Syafiq dalam mukadimah buku itu, boleh disebarkan secara percuma di atas talian.

“Tiada hakcipta yang kita tuntut di balik terbitan ini, ia bebas diulangcetak dan disebarkan oleh sesiapa saja, dan digunakan dalam kajian-kajian,” katanya lagi.

Karya istimewa dari pena ulama ini boleh dibaca dan dimuatturun melalui pautan ini.

Baca juga Siapa tokoh ulama Dr Yusuf Al Qaradawi? Hafal 30 juzuk di usia 9 tahun selepas 7 tahun yatim piatu