Menyelusuri susur galur darah daging sendiri adalah suatu pengalaman bermakna dalam hidup berkeluarga. Mencari makna setiap detik-detik yang berlalu tentang keluarga adalah memberi maksud keperluan menghargai setiap detik hidup bersama. Apa jua keadaan, susah – senang, suka- duka, pahit – manis adalah asam garam kehidupan yang harus dilalui oleh kita sebagai manusia.
Sejarah kita mungkin berbeza. Seperti juga untung nasib, rezeki, jodoh pertemuan adalah di tangan Tuhan. Berapa banyak doa yang kita panjatkan, entah berapa banyak yang Allah kurniakan tanpa kesedaran dan kesyukuran.
Kitapun tidak tahu, doa siapa yang dimakbulkan oleh Tuhan. Doa siapa yang hijabnya tiada antara dirinya dengan Maha Berkuasa dan Maha Pemurah.Barangkali doa daripada insan hina yang tidak pernah dipandang oleh mata manusia.
Barangkali doa dari ungas, binatang atau alam yang lebih bersempati kepada kita. Kita tidak tahu tetapi kadangkala kita ingin menjadi serba tahu dan lebih ingin memberi tahu daripada tahu.
Antara kecenderungan saya kini adalah membuat penyelidikan dan pengumpulan dokumen-dokumen tentang keluarga. Samada keluarga di sebelah bapa atau mak. Bahkan keluarga di sebelah isteripun, saya cuba susur sedikit demi sedikit. Meski agak sukar kerana ramai yang sudah tiada kerana meninggal dunia.
Masa tidak pernah menunggu kita. Masa akan terus berdetik dan berlalu. Melalui usaha kecil ini akan menjadi suatu jambatan zaman antara generasi ke satu generasi bagi menghubungkan kegemilangan silam dengan keyakinan pada hari ini untuk masa hadapan yang lebih membahagiakan.
Menjadi penyambung semangat zaman adalah satu tanggungjawab sosial yang sering terabai akibat bebanan yang menghimpit kehidupan. Memberi ruang sedikit waktu merenung silam melalui foto-foto lama adalah salah satu caranya. Kemudian, hasil penyelidikan dikongsi samada dalam bentuk album, novel, buku ataupun artikel. Atau mungkin boleh disegarkan melalui media sosial facebook, Instagram, tik tok dan sebagainya.
Suatu petang, saya memperuntukan waktu berada di rumah lama tinggalan datuk saya sebelah mak di kampong Sungai Batang, Bagan Datoh. Di rumah inilah saya dilahirkan pada tahun 1964. Bahkan saya dibesarkan di sini sebelum mak dan bapa berpindah ke Sungai Manik bagi memulakan penghidupan keluarga muda yang baru.
Mak saya bernama Masreah dibesarkan dengan suasana pendidikan yang sangat memberangsangkan. Bapa mak, bernama Kiyai Haji Yasin Abu Bakar Toha seorang hartawan. Kiyai Haji Yasin mewakafkan sebahagian kekayaannya untuk pembangunan pendidikan di kampong tersebut. Kiyai Haji Yasin mendirikan pondok, madrasah dan surau al Yasiniah. Ketiga-tiga institusi itu didirikan berdekatan dengan rumah-rumahnya dengan bantuan gotong royong bersama orang kampong.
Bahkan Kiyai Yasin juga menyerahkan tanahnya untuk dijadikan tapak kepada pembinaan sekolah rendah kebangsaan Sungai Batang. Semua anak-anaknya daripada ketiga-tiga isterinya belajar di situ. Kira-kira tahun 70an, sekolah itu masih digunakan sebelum dipindahkan ke tebuk tengah kira-kira setengah kilometer dari tapak asalnya.
Foto ini adalah gambar pelajar-pelajar Madrasah al Yasiniah bersama dengan Ustazah Salehah binti Abdul Kadir, isteri kepada Ustaz Ashaari Naim, guru sekolah yang sama. Mereka adalah lulusan Madrasah Ehya as Syarif, Gunung Semanggol. Mereka berasal dari Temoh, sebuah perkampongan yang mempunyai tradisi pendidikan Islam berpengaruh pada tahun-tahun 40an.
Sebahagian besarnya sudah tiada. Semoga roh mereka yang telah pergi dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan para mursalin dan solehin. Amin.
Penulis adalah budayawan, penyelidik dan pensyarah di salah universiti tempatan.
Baca juga: Serah tubuh sebagai bukti cinta, pelajar wanita hanya dipermainkan