Sejumlah 16,163 saman telah dikeluarkan oleh pihak polis ketika menjalankan operasi khas lampu isyarat pada 15 hingga 30 September lalu. Operasi ini membabitkan 1,659 lokasi seluruh negara dan melibatkan 1,541 anggota polis.
Sepanjang tempoh 15 hari operasi yang menumpukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, lebih separuh saman iaitu sebanyak 8,211 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal.
Ia kemudian diikuti kereta (6,083), lori (528), van (264), bas (22) dan 1,055 saman untuk lain-lain kenderaan.
Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata, polis turut mengeluarkan 24,276 saman melibatkan lain-lain kesalahan lalu lintas dengan 71,069 kenderaan diperiksa.
“Seramai 27 individu ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan memiliki waran tangkap saman trafik dalam operasi itu.
“Polis memandang serius sikap dan trend pengguna jalan raya yang mewujudkan risiko kemalangan ekoran tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.
“Orang ramai dinasihat supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: Siapa kata Langkawi sunyi? Data tunjuk lebih 250,000 pengunjung datang ke Langkawi bulan lepas
Baca juga: Penjenamaan semula logo UM dikritik, “penat cari rupanya tukar ‘font’ je”