Wanita ditemui mati dengan kesan dijerut dalam bilik hotel bajet, lelaki warga asing ditahan

Oleh NASUHA RAHMAN

Seorang wanita ditemui mati di dalam bilik sebuah hotel bajet, susulan penemuan mayat itu seorang lelaki warga asing telah ditahan.

Wanita berusia 36 tahun itu ditemukan dengan kesan jerutan dileher dipercayai dijerut menggunakan tali.

Mangsa ditemukan di lantai bilik hotel di Jalan Alor oleh pekerja premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 9.56 malam.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lilitan di leher dipercayai akibat dijerut dengan menggunakan tali.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah , Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi mengesan seorang lelaki dipercayai teman lelaki mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek warga asing berusia 27 tahun berjaya ditahan di sekitar Sentul, semalam.

“Polis menemukan salinan pasport yang sudah tamat tempoh. Pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Baca juga: Kerajaan kini lumpuh ekoran tanda tanya bubar atau tidak, kata Ahli Parlimen veteran

Baca juga: Tidak memilih kerja, pemuda ini gembira dengan tugasnya