Pilihan Raya Umum ke-15 disifatkan sebagai pertempuran antara masa lalu dan masa depan di mana pilihan raya kali ini akan menentukan sama ada Malaysia akan menjadi negara gagal seperti Sri Lanka atau sebuah negara majmuk bertaraf dunia.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, justeru itu rakyat Malaysia perlu memilih, sama ada mahu melihat Malaysia mundur ke masa lampau atau memberanikan diri untuk membina masa hadapan baharu.
“Akhirnya ia sudah ditentukan. Parlimen sudah dibubarkan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15.
“Pilihannya tidaklah mudah.
“Kerana politik toksik dan perkauman telah meracuni landskap politik Malaysia dalam enam dekad yang lepas, akan muncul sisi terburuknya dalam era maklumat masa kini dengan berita palsu dan fitnah yang diterbitkan sekelip mata.
“Namun, keadaannya tidaklah penuh suram dan tanpa harapan,” kata veteran DAP itu dalam satu kenyataan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.
Sementara itu Kit Siang berkata, seperti mana Pilihan Raya Umum ke-14 (pada 9 Mei 2018) telah menumbangkan gabungan Umno-BN yang sebelum ini dilihat kebal, tarikh keramat 23 Ogos 2022 pula memberikan harapan bahawa PRU-15 boleh membawa satu lagi keajaiban politik untuk mengembalikan Malaysia kepada prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Pada 23 Ogos, panel lima orang hakim Mahkamah Persekutuan telah menyertai empat orang hakim yang lain dalam bersetuju untuk menghantar bekas Perdana Menteri Najib Razak ke penjara atas kesalahan rasuah.
Ini kata Kit Siang, menjadi satu bukti bahawa pemulihan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman ini bukanlah hanya khayalan, sebaliknya merupakan satu usaha yang sedang berjalan.
“Rakyat Malaysia kini perlu membuat pilihan untuk mengundi memilih masa hadapan yang lebih baik, atau kembali kepada masa lampau yang buruk,” katanya.
Baca juga: Agong perkenan pembubaran Parlimen hari ini