Ringgit jatuh kepada RM4.70, kerajaan sementara kenapa berdiam diri, tanya Guan Eng

Oleh KIM SYAZIE

Nilai ringgit hari ini (14 Oktober 2022) jatuh ke paras terendah kepada RM4.6920 berbanding satu dolar AS. Nilai yang direkodkan merupakan paras terendah baharu sepanjang masa.

Sebelum ini Kenanga Research melaporkan ringgit menyusut berikutan kebimbangan politik tanah air dan juga kekuatan dolar AS.

Ketika menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu (7 Oktober), ringgit melemah kepada RM4.65, dan terus melemah kepada RM4.6910 ketika penutupan Khamis (14 Oktober, semalam).

Dalam pada itu bekas Menteri Kewangan sewaktu Pakatan Harapan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan nampaknya telah lumpuh apabila nilai ringgit menyusut dengan cepat sejak beberapa hari lalu, tanpa jaminan kepada pasaran kewangan untuk mempertahankan nilai ringgit.

Beliau menegaskan agar perdana menteri dan ahli Kabinet sementara melakukan sesuatu untuk menangani krisis kewangan sekarang.

Melihat kerajaan sementara yang tidak melakukan apa-apa ketika ini, Guan Eng berkata ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana mereka masih dibayar gaji.

“Mengapa Perdana Menteri dan pemimpin BN berdiam diri walaupun rakyat Malaysia menyaksikan kejatuhan menyedihkan ringgit sebanyak 1% hari ini berbanding dolar Singapura ke paras terendah dalam sejarah kepada RM4.70?

“Dengan ringgit yang lemah, rakyat Malaysia dan peniaga menghadapi masa depan kewangan yang suram dengan kos import yang melambung tinggi, kos sara hidup dan kos faedah yang lebih tinggi dijangka akan diumumkan oleh Bank Negara bulan depan.

“Perdana Menteri sementara mahupun Menteri Kabinet sementara tidak menangani masalah serius yang menjejaskan perniagaan dan rakyat ini.

 “Ini adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila mereka masih dibayar gaji tanpa melakukan apa-apa, walaupun Parlimen telah dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca juga: Bengang tiba-tiba petik aurat isteri, Caprice bagi PU Syed tempoh 24 jam untuk minta maaf

Baca juga: Bagaikan diserang dari setiap penjuru – Terus siap sedia hadapi kemungkinan hujan lebat, ancaman banjir