Malaysia Dateline

Bagaikan diserang dari setiap penjuru – Terus siap sedia hadapi kemungkinan hujan lebat, ancaman banjir

Malaysia perlu terus siap sedia menghadapi kemungkinan hujan lebat dan ancaman banjir ekoran wujudnya banyak sistem tekanan rendah dari setiap penjuru dalam unjuran sehingga 22 Oktober depan.

Pemerhati cuaca, MatGeo menerusi perkongsiannya di Facebook memaklumkan terdapat lima sistem tekanan rendah yang dikesan.

Untuk rekod, sistem tekanan rendah menggalakkan pembentukan awan hujan seterusnya kemungkinan hujan lebat dan ancaman banjir.

Namun, Mat Geo berkata, bilangan sistem tekanan rendah itu mungkin akan berkurang untuk tempoh beberapa hari ini.

“Sistem tekanan rendah semeriah ini belum saya tengok sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, ia adalah di hujung unjuran iaitu 22.10.2022. Boleh jadi akhirnya ia tinggal dua tiga (sistem tekanan rendah),” katanya dalam hantaran di Facebook.

Jelasnya, terdapat tanda jelas putaran bumi pada peta tekanan udara ini menurut hujung unjuran 10 hari ke depan apabila pusar bawah Khatulistiwa yang terpengaruh dengan siklon di Teluk Bengal, tidak dapat ditarik menyeberangi Khatulistiwa untuk ke hemisfera utara.

“Lagipun ia berbeza arah pusar kerana sferoid bumi. Itu kalau ikut kira-kira fizik.

“Mengapa disebut hujung unjuran keadaan gangguan cuaca mungkin tinggal dua, tiga daripada lima ialah kerana ia unjuran semata-mata.

“Boleh jadi ia bergabung membentuk unjuran baru,” ujarnya.

Beliau menambah meramal hujan lebat beberapa hari ke depan perlu diukur dari unjuran jumlah hujan terkumpul dalam tempoh tertentu sepanjang unjuran.

“Ini diambil contoh dari Taiwan waktu ini dengan hujan terkumpul untuk lima hari mencatat 59.5 mm untuk 72 jam pertama dan 441.9 mm hujan untuk 48 jam berikutnya.

“Bagaimana membayang 441.9 mm dalam 48 jam? Bayangkan saja jika sebuah tong dram di tengah padang menadah hujan, separuh penuh dalam masa 2 hari.

“Itu tidak termasuk hipotesis hujan sebenar tiga kali ganda unjuran.

“Cara memantau dengan data begini lebih tepat fokus kawasan potensi banjirnya dan wilayah intensiti hujannya, berbanding memantau dari simulasi radar hujan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan mengeluarkan amaran ribut petir apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Menurut MetMalaysia menerusi hantaran di laman rasmi Facebook jabatan itu, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Baca juga Amaran cuaca buruk – Biar masyarakat yang gelabah bukan agensi

Baca juga Wah! Senaman ‘buaya merangkak’ jadi trend di China